Sunday, December 18, 2011

Keputusan Semakan Latihan Perguruan Bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa


Sukacita dimaklumkan bahawa Keputusan Semakan Latihan Perguruan bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa boleh dibuat mulai 19 Disember 2011 melalui Laman Web berikut



Semoga para GSTT yang tersenarai nama untuk mengikuti latihan perguruan ini akan memberikan komitmen sepenuhnya sebagai pendidik. Jangan hiraukan kata-kata sinis graduan pendidikan yang lain dan dan jangan tawar dengan cabaran semasa dunia pendidikan.

Kepakaran anda sebagai graduan dalam pelbagai bidang kritikal amat diperlukan bagi memperkasakan dunia pendidikan negara.

Selamat Maju Jaya. Ini juga sebagai satu perangsang dan nasihat untuk isteri tersayang yang turut tersenarai antara yang terpilih untuk mengikuti latihan perguruan ini.



Majlis Bercukur : Meraikan Adat tanpa Meminggirkan Sunnah Nabawi


Pada 18 Disember, iaitu semalam, telah berlangsung Majlis Bercukur dan doa selamat bagi meraikan kelahiran putera sulung kami, Raja Hasif Zhafran. Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran sanak saudara dan penduduk kampung yang turut sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan bagi bayi muslim yang baru lahir ini.

Amalan cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan tidak selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Turmudzi)

Justeru itu, perlu dijelaskan bahawa Majlis yang aku izinkan untuk diadakan ini adalah sekadar meraikan adat dan menjamu sanak saudara sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Illahi di atas anugerah ini.

Sunnah dijunjung sebaik sahaja bayi ini lahir ke dunia. Nama diberi dan ditahnik sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada cucunya, Hasan dan Husin.

Rupa Hasif sebelum rambut dicukur

Rupa Hasif selepas rambut dicukur

Dengan diiringi selawat ke atas Nabi SAW, para ibu yang hadir diberi penghormatan untuk menggunting rambut Hasif dan diperkenalkan kepada tetamu dan sanak saudara yang hadir.



Alhamdulillah, semoga Hasif terus membesar dengan sihat dan menjadi sandaran harapan Abi dan Umi.




Thursday, December 8, 2011

Menyelusuri Khazanah Petua Ayahanda

Sebagai ibu bapa, kesihatan dan keselamatan anak merupakan perkara yang paling utama yang dititikberatkan sejak di awal kelahiran. Ini yang aku rasai. Tidur malam tidak lagi lena kerana sentiasa mengawasi anak yang baru lahir ini.

Berita muktahir tentang kejadian bayi lemas semasa tidur, mati kerana tersedak susu, diterajang bapa kerana menangis dan bermacam-macam lagi kejadian, menjadi igauan bagi ibu bapa seperti aku.

Doa keselamatan dan selawat syifa sentiasa dialun bagi memohon agar keselamatan dan kesihatan anak tersayang tetap terpelihara.

Apabila anak tidak sihat, ibu bapa akan kalut untuk mencari jalan bagi mengubatinya. Pelbagai cara diusahakan sama ada perubatan moden mahupun tradisional.

Bagi aku, satu demi satu petua yang pernah diajar oleh ayahanda satu ketika dahulu kembali segar dalam ingatan. Terima kasih kepada ayahanda kerana mewarisi amalan petua yang amat membantu ini.

Salah satu petua yang diajar ialah penggunaan tuam seperti gambar di atas untuk membuang angin dalam badan. Amat berguna bagi meredakan kembung perut. Tuam ini dibuat sendiri oleh ayahanda dan kini aku mewarisinya.

Tiada yang istimewa pada tuam ini. Tidak ada jampi untuk diamalkan bersama tuam ini. Hanya tawakal kepada Allah SWT. Tuam yang mengandungi rempah ratus, herba dan akar kayu ini dipanaskan dengan menggunakan api pelita, lilin atau seterika, kemudian ditekap ke anggota badan yang ingin dituam.

Aku mengamalkan penggunaan tuam ini 2 kali sehari setiap kali Hasif selesai mandi. Sambil-sambil aku tuam badan Hasif, aku dan Ummu Hasif bersama-sama mengurut dan membelai badan Hasif dari muka hingga ke hujung kaki. Teknik urutan bayi banyak dibincangkan di internet dan mudah dipelajari.

Harapan aku semoga Hasif membesar menjadi anak yang sihat dan berbakti kepada agamanya.



Sunday, December 4, 2011

Permata Cinta Almarhum Ayahanda

"... bila abah takde nanti, kome jaga mak elok-elok. Kome jangan bagi dia menangis disebabkan kerenah saudara-mara."

Ini pesanan abah yang aku dengar dengan telinga aku sendiri. Aku cukup faham, mak adalah permata cinta hati abah yang amat bernilai. Keunggulan kasih sayang mereka terbukti secara visual semasa mak menjaga abah sehingga ke saat akhir hayatnya.

Kesabaran dan ketabahan mak begitu mengharukan. Tiada keluhan kepenatan, tiada omelan yang menyakitkan hati, tiada leteran yang memekakkan telinga, tiada air mata kekesalan. Segala keperluan abah, dipenuhi tanpa bertangguh. Segala kelemahan dan kekurangan abah, ditutup serapatnya sehingga anak sendiri tidak mengetahui.

Linangan air mata abah di penghujung hayat menzahirkan cintanya pada mak.

Aku yakin abah redha dengan mak, semoga Allah SWT juga meredhai mak.

Didikan yang diberi oleh mak dan abah sudah cukup sempurna.

Kami adik beradik akan menjaga mak. Sesiapa yang melukakan hati mak, akan berhadapan dengan kami 9 adik beradik. Sesiapa yang berlaku kurang ajar dengan mak, akan merasa bahananya. Sesiapa yang merampas hak mak, akan menerima pengadilannya. Ini amaran aku..


Saturday, November 26, 2011

1st Anniversary

Alhamdulillah.. Salam Hijratul Rasul.. Hari ini 27 November, merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang pertama.

Ummu Hasif masih lagi dalam berpantang. Syukur tidak terhingga kerana sambutan ulang tahun ini diserikan dengan kehadiran orang baru yang menjadi sumber semangat kami berdua.

Hasif sudah berumur 38 hari. Begitu pantas masa berlalu. Semoga anak ini membesar dengan sempurna dan menjadi sandaran harapan kami berdua.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Yang Pertama
Abu Hasif & Ummu Hasif

Semoga Allah SWT terus memberkati hidup kita


Friday, November 25, 2011

Sudah naik buai..

Masa berlalu begitu cepat. Sedar tak sedar, Hasif sudah berumur 37 hari. Menjadi seorang abi ni adalah satu pengalaman yang sangat istimewa. Syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan ini.

Kasihan pada Ummu Hasif yang selalu berjaga malam mendodoikan Hasif. Aku pun berjaga juga tapi selalunya aku yang tidur dulu dari Hasif.

Terima kasih kepada keluarga mertua yang sentiasa membantu dan mak aku yang banyak memberi nasihat walaupun berada jauh di Perak.

Masuk hari yang ke-25, Hasif sudah diajar untuk tidur dalam buaian. Kalau ikutkan, aku mahu Hasif tidur di atas tilam sahaja. Tetapi atas nasihat keluarga, Ummu Hasif tidurkan Hasif di dalam buaian.

Lena sungguh Hasif bila berada dalam buaian.



Thursday, November 17, 2011

Ramai-ramai serbu sekolah untuk dapatkan RM100..

Pada pembentangan Bajet 2012 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Pertama telah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Persekolahan 2012 sebanyak RM100 bagi setiap murid sekolah. Bagi memastikan hasrat kerajaan ini terlaksana, maka pihak sekolah diamanahkan untuk mengagihkan bantuan ini kepada semua murid.

Bagi SK Muhammad Jabar, satu majlis khas diadakan untuk menyampaikan bantuan kewangan ini. Majlis ringkas ini dimulai dengan ucapan alu-aluan dari Guru Besar, diikuti dengan ucapan YDP PIBG dan seterusnya ucapan penerangan saduran kempen dari wakil Ahli Parlimen Raub.

Guru-guru kelas diberi tanggungjawab untuk menyelia pengagihan bantuan kewangan ini dengan dibantu oleh guru-guru yang lain.

Keceriaan penuh kesyukuran jelas terpancar di wajah ibu bapa yang hadir untuk menerima bantuan ini. Diharapkan semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan awal bagi anak-anak menjalani sesi persekolahan pada tahun 2012. Besar harap kerajaan agar bantuan ini digunakan untuk keperluan anak-anak dan bukan disalahgunakan oleh ibu bapa bagi tujuan yang lain.


Hari Anugerah Cemerlang 2011 SK Muhammad Jabar

Hari Anugerah Cemerlang.. ini merupakan acara wajib bagi setiap sekolah bagi menghargai murid-murid yang menunjukkan kecemerlangan dari aspek akademik mahupun kokurikulum. SK Muhammad Jabar juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan acara tahunan ini. Dianggarkan lebih 200 orang murid menerima hadiah prestasi mengikut kategori yang telah ditetapkan. Sekadar angka anggaran sahaja sebab aku malas nak kira dengan tepat walaupun aku pengacara majlis pada hari tu.

Tahniah... Ini antara wajah ceria penerima anugerah prestasi yang sempat aku rakam. Tugas sebagai juru acara membataskan pergerakan aku untuk meninjau suasana majlis.

Majlis turut diserikan dengan tarian joget dari murid prasekolah. Ini pasukan joget yang mewakili SK Muhammad Jabar dalam Pertandingan Joget Prasekolah Daerah Raub yang lalu. Tahun depan mana tahu sekiranya aku pula berpeluang mengajar tarian bilangi (tarian etnik bidayuh) kepada mereka.. hahaha...

Ini pula model yang memperagakan pakaian etnik bidayuh dan kadazan. Baju etnik bidayuh ini merupakan satu-satunya hadiah berharga dari ketua kaum tempat aku mengajar dulu dan masih aku simpan sebagai kenang-kenangan.

Walaupun majlis ini amat meriah, tetapi jauh dihati aku, aku masih teringatkan kemeriahan dan kemesraan semasa mengendalikan majlis anugerah di SK Mentu Tapu. Kemeriahan dalam kesederhanaan itu amat bernilai..



Kembali Aktif...

Pada 8 November yang lalu, aku telah diamanahkan untuk membawa 4 orang murid bagi mengikuti Kursus Kenaikan Pangkat KRS / TKRS Daerah Raub. Sudah lama aku tidak bergiat aktif dalam Pasukan KRS ini. Semenjak dinaikkan pangkat kepada Leftenan KRS 2 tahun lepas, ketiga-tiga set uniform aku hanya tergantung di dalam almari. Kini, di tempat baru, aku kembali aktif sebagai jurulatih KRS.

Sepanjang mengikuti kursus ini, kadet yang aku bawa berjaya lulus bagi setiap modul penilaian. Di akhir kursus, keempat-empat kadet berjaya dinaikkan pangkat kepada Koperal TKRS.

Tahniah diucapkan dan aku harap keempat-empat Koperal TKRS ini dapat membantu aku untuk memperkasakan pasukan TKRS SK Muhammad Jabar pada tahun hadapan.

"Ilmu, Iman, Amal'


Wednesday, October 26, 2011

Pesanan Abi untuk Hasif..


Buat anakku, abi titipkan pesanan kekal agar menjadi panduan ketika dirimu memerlukan sekiranya ditakdirkan abi tiada disisi.

Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah Luqman, ayat 13)

Semat kukuh aqidah Islamiah di hatimu, Tiada Tuhan Selain Allah SWT dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Al-Quran itu petunjuk yang nyata, Sunnah Nabawi ikutan setiap masa. Pegang 3 perkara ini agar menjadi darah dagingmu sepanjang hayat.

"Hai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan membalasnya. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”
(Surah Luqman, ayat 16)

Ikhlas dalam setiap amal perbuatanmu kerana apabila ia diterima di langit, sudah tentu makhluk di bumi tidak akan menolaknya.

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah.”
(Surah Luqman, ayat 17)

Selepas Hasif dilahirkan, abi azan dan iqamat ke telinga untuk mengingatkan kembali ikrarmu semasa di alam roh. Kedatanganmu ke dunia ini sebagai khalifah. Oleh itu, bertindaklah selayaknya untuk memakmurkan bumi Allah SWT ini, agar kehadiranmu penuh makna dan signifikan.

Apabila Hasif diuji Allah SWT dengan kesulitan, itu tandanya Allah SWT sedang menyatakan cinta-Nya kepadamu. Jangan sekali-kali berasa gundah. Ingatlah firman Allah SWT ini:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?”
(Surah al-Ankabut, ayat 2).

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
(Surah Luqman, ayat 18)

Pesanan abi yang terakhir, jagalah nama baik keluarga dan keturunanmu. Hasif merupakan pewaris aspirasi abi dan umi. Tiada harta dunia yang diwariskan, hanya nama baik keluarga yang dijaga dari satu generasi ke satu generasi.




Tuesday, October 25, 2011

Raja Muda keluarga kami


Segala puji bagi Allah, Tuhan Penguasa Alam.

20 Oktober 2011 bersamaan 22 Zulkaedah 1432 Hijrah, jam 1617, isteriku selamat melahirkan putera sulung kami. Bayi comel ini kami namakan Raja Hasif Zhafran bin Raja Dain Jazlands Shah. Penyambung kesinambungan warisan keluarga turun temurun. Pewaris ke-12 dari generasi ke-6 keturunan Raja Abdul Jalil bin Raja Uda.

Mulai hari ini, aku bergelar Abu Hasif dan isteriku bergelar Ummu Hasif.


Ahlan wa sahlan. Selamat Datang ke dunia yang mencabar ini.. Semoga anakku ini membesar menjadi insan yang soleh, berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara. Semoga berjaya di dunia dan akhirat.


Ya Allah, teguhkanlah aqidah anakku ini. Rahmatilah anakku dengan Al-Quran dan jadikanlah untuknya Al-Quran sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, ingatkanlah anakku ini apa yang dia terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah anakku ini daripada Al-Quran apa yang belum dia ketahui. Berikanlah dia kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang, dan jadikanlah Al-Quran itu hujah baginya di dunia dan akhirat. Amin ya rabbal a'lamin.



Saturday, October 22, 2011

Aku kini bergelar Abi...


Syukur Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah SWT di atas anugerah yang amat bernilai ini..

Kini, aku sudah bergelar abi. Isteri aku sudah selamat melahirkan putera sulung kami pada 20 Oktober 2011, jam 1617, di Bilik Bersalin 5, Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang. Bayi seberat 2.36 kg ini merupakan anugerah yang amat bernilai kepada kami sekeluarga..

Pengalaman menunggu dan menemani isteri di bilik bersalin benar-benar memberi suatu dimensi baru dalam hidup aku. Kini perspektif aku semakin jelas. Aku dapat merasai sendiri kepayahan seorang ibu bertarung nyawa untuk melahirkan seorang khalifah Allah SWT. Aku amat bersyukur kerana proses kelahiran amat mudah tanpa sebarang masalah memandangkan ini adalah kelahiran sulung.

Isteri telah ditahan di wad selama dua malam kerana pemeriksaan doktor mendapati indeks air ketuban kurang dari sepatutnya. Hati mana yang tidak bimbang apabila isteri terpaksa melalui keadaan ini. Dua hari aku berulang-alik dari Temerloh ke Raub. Isteri perlu diberi perhatian, manakala tugas sebagai guru pula tidak boleh diabaikan memandangkan sekarang ini adalah minggu peperiksaan.

Aku akan update lagi blog ini, akan disertakan gambar terkini putera sulung kami dan pengisytiharan namanya.


Monday, October 17, 2011

Debaran semakin terasa..


Genap 9 bulan 10 hari.. Berdebar sungguh rasanya. Inilah perasaan yang sering diluahkan oleh kawan-kawan apabila masa semakin hampir. Hati bercampur baur dengan perasaan gembira, gementar, tidak sabar dan macam-macam lagi.

Segala persiapan sudah dilakukan. Mental dan emosi juga sudah bersedia. Doa tidak pernah putus untuk kesejahteraan isteri tersayang dan anak yang bakal dilahirkan.

Apabila menghadapi saat macam ini, mula lah aku teringat semula setiap perkara yang berlaku semasa di awal kehamilan isteri. Kisah lucu dan mencemaskan, semua ada.

Teringat semula bagaimana keadaan isteri semasa di awal kehamilan. Dia gagahkan diri untuk tinggal bersama aku di pedalaman Sarawak. Bersabar dengan situasi semasa hamil. Segalanya masih aku ingat dan aku amat bersyukur kerana isteriku seorang yang penyabar dan kuat semangat. Segala kesusahan dihadapi dengan tenang dan redha.

Disepanjang kehamilan, isteri aku tidak pula mengidam apa-apa seperti yang berlaku kepada isteri kawan-kawan dan adik ipar aku. Sebaliknya aku yang mengidam nangka madu sampai tak boleh tidur malam. Aku terpaksa menghadapi keadaan itu selama seminggu. Mujur mak mertua aku ada menanam pokok nangka dan kebetulan ia memang berbuah. Sekarang nangka madu banyak dijual di tepi-tepi jalan. Tapi peliknya, aku tak terliur langsung sekarang ni.

Hati masih lagi berdebar. Semoga isteri dan anak yang bakal dilahirkan selamat sejahtera dan dilindungi Allah SWT sepanjang masa..



Saturday, October 15, 2011

Kurikulum Standard.. Mengapa Standard?


Bermula dari awal sesi persekolahan tahun 2011, murid Tahun 1 di seluruh negara telah menjadi perintis pelaksanaan dasar Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini digubal bagi menggantikan kurikulum terdahulu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR merupakan satu transformasi bentuk kurikulum yang kurang memberi penekanan terhadap peperiksaan. Walaup bagaimanapun, sekolah masih perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid berada di standard yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid secara holistik dapat dilaksanakan, maka satu sistem pentaksiran dirangka iaitu Pentaksiran Sekolah yang berpandukan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Sekolah merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai domain mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum sesebuah matapelajaran. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (markah dalam peperiksaan), sebaliknya murid akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap matapelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam Dokumen Standard Prestasi matapelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

Guru matapelajaran perlu merangka instrumen untuk menguji penguasaan murid bagi sesuatu domain. Instrumen boleh terdiri dari ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Instrumen yang digunakan untuk menguji murid ini akan dijadikan sebagai evidens. Bagi merangka instrumen ini, guru perlu merujuk kepada Dokumen Standard Prestasi matapelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menyatakan kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya.

Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, diharapakan agar transformasi ini mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Tahun 2012, merupakan tahun kedua pelaksanaan dasar KSSR ini. Kursus persediaan untuk para guru telah pun melaksanakan. Guru sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi seharusnya memahami sepenuhnya hasrat ini agar agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan.

Sebagai perkongsian bersama, pada link di bawah, disediakan bahan bagi membantu para guru untuk melaksanakan LADAP KSSR di sekolah.

Bahan LADAP KSSR


sumber : Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia




Wednesday, October 12, 2011

Aku kembali....


SK Muhammad Jabar, Dong, Raub, Pahang Darul Makmur.

5 bulan diperlukan untuk aku kembali menulis di blog ini selepas berpindah dari Sarawak pada Jun 2011 yang lalu. Aku perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Mencari teman, membuat saudara dan menyebarkan salam ukhwah kepada penduduk Raub. Dalam tempoh 5 bulan di tempat baru, banyak perkara telah berlaku.

Fasa baru dalam perjalanan karier aku sebagai guru. Ramai rakan-rakan guru yang bertanya, kenapa tidak pindah ke Perak? Bagi aku, usia perkhidmatan aku masih panjang. Tambahan pula kerajaan baru sahaja mengumumkan perlanjutan umur bersara kepada 60 tahun. Jadi, aku mempunyai banyak lagi masa untuk berkhidmat, lebih dari 30 tahun, insyaAllah jika diizinkan-Nya. Oleh itu, buat apa terburu-buru untuk pulang ke kampung halaman. Masih banyak lagi perkara yang perlu aku terokai. Masih banyak lagi tangga yang perlu aku daki.

Tapi, buat masa sekarang hati ini masih terkenangan SK Mentu Tapu dan SK Sungai Rimu.. ada sesuatu yang tertinggal di sana, pengalaman yang mengajar aku cara untuk mengajar...


Monday, May 30, 2011

Bertugas di tempat baru..

Pendidik Bumi Kenyalang
Berdiri teguh berjanji tetap setia
Memimpin mendidik putera puteri Sarawak
Menuju cita mulia......

Terasa terngiang-ngiang di telinga aku melodi lagu Pendidik Bumi Kenyalang.

Setelah 3 tahun menimba pengalaman di Sarawak ini, maka tiba masanya untuk aku beralih angin untuk meneruskan khidmat di tempat baru. Berubah untuk memajukan diri.

Terima kasih kepada rakan-rakan di Bumi Kenyalang kerana sudi bersaudara dan menjadi keluarga kepada ku sepanjang aku berada di sini. Tidak lupa juga kepada penduduk kampung Mentu Tapu dan kampung Paon Rimu, terima kasih kerana sudi menerima kehadiran aku untuk mendidik anak-anak kalian.

Semoga kita dapat bertemu lagi di lain waktu.. Terima kasih tidak terhingga dan hingga bertemu lagi..



Sunday, May 29, 2011

Rindu Ayahanda Tercinta..


Tarikh ini datang lagi.. kenangan lalu kembali segar dalam ingat, lebih segar dari masa-masa sebelumnya.

Masih hangat terasa pipi ini dikucup lembut oleh ayahanda.

Masih terasa denyutan pergelangan tangan ini disentak oleh ayahanda.

Masih terasa usapan lembut di bahu apabila ayahanda memujuk.

Segalanya masih segar walaupun sudah 8 tahun ayahanda kembali kepangkuan Maha Penyayang. Kasih sayang dan didikan yang diberi menjadikan diri aku pada hari ini. Akan aku teruskan perjuangan ayahanda dan aku akan cuba mencontohi tauladan dirimu dalam mendidik anakku agar menjadi muslim yang bertakwa.

AL-FATIHAH untuk Ayahanda tercinta
Al-Marhum Raja Abdul Rahman bin Raja Abdul Jalil
10 Feb 1947 – 30 Mei 2003



Saturday, May 14, 2011

Jako Iban : Selamat Hari Pengajar..


Kita selusuri latar belakang sejarah tercetusnya idea hari guru ini. Kita menyambutnya saban tahun, meraikannya, sampai jarang untuk kita menghayati cerita-cerita di sebalik hari guru ini.

Di Malaysia, hari guru disambut lantaran penerimaan Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan olen Laporan Jawatankuasa Pelajaran.

Tarikh penerimaan cadangan ini ialah pada 16 Mei 1956, maka bermula dari situ kita terus mengambil tarikh itu untuk menyambut hari guru saban tahun.

Setiap negara mempunyai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Melalui jalan sejarah itu, mereka akan melalui hari-hari yang tentunya berbeza dengan rakyat negara kita. Hasilnya, sambutan yang diraikan sepeti hari guru ini juga berbeza.

Di Amerika contohnya, sambutan hari guru ini disambut pada hari Selasa pertama dalam bulan Mei. Persatuan Pendidikan Kebangsaan di sana menyatakan bahawa sambutan hari guru ini adalah untuk menyambut dan menghargai segala sumbangan para guru kepada masyarakat.

Di India berbeza pula. Hari guru disambut bersempena oleh presiden negara mereka yang kedua yang juga merupakan seorang pendidik yang amat berdedikasi. Hari guru yang disambut pada 5 September itu sesetengahnya diraikan dengan pelajar-pelajar senior akan mengambil alih tugas mendidik pada hari tersebut sebagai penghargaan kepada guru-guru mereka.

Selamat Hari Guru Kepada semua warga pendidik
khususnya kepada warga pendidik Bumi Kenyalang

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara







Sunday, May 1, 2011

Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40


"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"
Lirik Lagu Tema Hari Guru 2011

Bersatu kita menuju paradigma yang baharu
Satu tekad dan harapan menyahut cabaran dunia
Pendidik berkualiti demi mencapai visi
Dengan azam yang murni membentuk akhlak terpuji

Guru mendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi masa depan
Guru penjana transformasi pendidikan negara
Menjayakan hasrat yang murni 1 Malaysia

Pendidik berinovasi menghasilkan kreativiti
Bersedia hadapi cabaran
Arus tanpa sempadan

Pendidik yang berkualiti
Membentuk akhlak terpuji
Mengimbangkan rohani
Jati diri dan jasmani

Guru mendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi masa depan
Guru penjana transformasi pendidikan negara
Menjayakan hasrat yang murni 1 Malaysia
1 Malaysia.. 1 Malaysia

Lagu & Lirik : Rosman Adam


Sila klik download untuk memuat turun Lagu Tema Hari Guru 2011

Sila klik download untuk memuat turun Lagu Pendidik Bumi Kenyalang



Persediaan Menyambut Orang Baru..

(Gambar 3D sekadar hiasan)

Selalunya bila search di internet tentang persiapan menyambut kelahiran, kerap kali terjumpa artikel yang ditulis dari perspektif seorang ibu atau bakal ibu. Persediaan bagi seorang ibu sudah diketahui umum, meliputi penjagaan kesihatan, senaman dan kebersihan. Ia banyak dibincangkan di mana-mana laman. Setakat ini aku belum jumpa artikel yang ditulis dari perspektif bapa.

Mendidik anak agar menjadi seorang Muslim yang sejati merupakan amanah bagi setiap ibu bapa. Lantaran keinsafan terhadap amanah yang dititipkan ini, ibu bapa perlu mendidik anak mengikut acuan yang betul.

Sejak dari awal lagi ibu bapa perlu membuat persediaan untuk mendidik anak. Persediaan yang penting bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, bahkan dari sudut kerohanian dan pendidikan. Keinsafan ibu dan bapa terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik dan ketua perlu ditanam agar anak yang lahir nanti menerima layanan dan asuhan yang sewajarnya.

Antara persediaan awal termasuklah mendedahkan kepada janin dengan alunan yang murni di samping bersedia memilih nama yang sesuai untuk anak itu. Seseorang anak perlu dididik ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Walaupun anak itu belum mampu berkata-kata atau melihat, namun dia dipercayai sudah boleh mendengar, merasai, dan menerima gelombang perasaan dari ibunya atau orang-orang yang berhampiran.

Oleh yang demikian, ibu dan bapa digalakkan banyak menenangkan perasaan dengan membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur. Ayat-ayat suci yang dibacakan itu dapat mendamaikan hati ibu seterusnya membantu perkembangan jiwa murni anak. Suara bacaan al-Quran juga mampu mendatangkan barakah dan rahmah dalam pembentukan anak.

Bahkan ada juga yang berpendapat pengaruh pengajaran yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang dialunkan itu mampu menyelinap masuk ke dalam sanubari janin, lantas membentuk potensi peribadi soleh sebagaimana terkandung dalam pengajaran ayat itu.

Lantaran itu, terdapat gesaan agar anak dalam kandungan tadi diperdengarkan bacaan Surah Luqman yang mengandungi pengajaran-pengajaran ke arah menjadi anak soleh, di samping surah-surah lain seperti Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insyirah, Surah Al-Alaq, Surah Maryam dan Surah Yusuf.

Memanggil janin di dalam kandungan dengan nama yang baik juga merupakan satu perkara yang patut diamalkan. Janin yang sedang membesar membentuk manusia yang sempurna, alangkah indahnya jika dipanggil dengan nama yang baik, berbanding dengan hanya memanggil ‘baby’ sahaja. Walaupun belum dipastikan lagi jantinanya, tidak salah untuk memanggil dengan nama pilihan yang baik-baik.

“Abi nak baca Al-Quran ni, Aiman (yang bertuah) dengar ye”
“Aiman (yang bertuah), umi nak solat, Aiman duduk diam-diam ye”

Terasa lucu bila mendengar ucapan seperti ini dari mulut rakan-rakan yang bakal menimang cahaya mata, akan tetapi ada rasionalnya, mendidik anak bermula dari rahim ibu.

Si ibu juga dianjurkan agar bertaubat dan membersihkan jiwa serta mengelakkan dari terjebak dalam maksiat dan lagha sepanjang mengandung. Perasaan ibu perlulah damai. Jika stress, bayi boleh menjadi lemah.

Wujudkan suasana girang, gembira dan syukur. Elakkan kemuraman, pertengkaran dan kalimah-kalimah yang kotor. Oleh itu peranan bapa selaku lelaki paling hampir amatlah penting. Bahkan bapa disarankan juga perlu bergilir-gilir membaca al-Quran dan berzikir bagi menceriakan halwa telinga anak yang di dalam kandungan.

Semoga kita semua boleh laksanakan, agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah – bukan anak-anak yang derhaka pada kita…



Monday, April 18, 2011

Penambahbaikan..


Setelah sekian lama blog ini berfungsi menuju satu arah sahaja, maka di sini aku ingin membuat sedikit penambahbaikan bagi mempelbagaikan fungsi blog ini.

Dalam blog ini telah disediakan link download bagi fail-fail berguna dalam bentuk PDF (ebook). Ini merupakan langkah pertama sebelum blog ini berpindah tapak.

Segala fail yang dimuat naik merupakan koleksi peribadi aku, meliputi topik akademik, kokurikulum, agama dan ICT. Fail-fail tersebut akan dimuat naik secara beransur-ansur. Tiada caj yang dikenakan, ia diniatkan sebagai sedekah jariah bagi sesiapa yang memuat turun fail tersebut..



Saya Yang Menurut Perintah


Hari ini genap seminggu aku bertugas di stesen baru, SK Sungai Rimu. Seminggu merupakan jangka masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baru, rutin kerja yang baru dan tugasan yang baru. Permulaan yang segar untuk aku pada bulan April ini.

SK Sungai Rimu terletak kira-kira 38 KM dari bandar Serian. Jaraknya kurang sedikit berbanding stesen terdahulu. Ia terletak di kawasan Perkampungan Bidayuh, Kampung Paon Rimu. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan sekolah kurang murid (SKM). Murid tahun 1 seramai 10 orang, tahun 2 seramai 4 orang, tahun 3 seramai 6 orang, tahun 4 seramai 10 orang, tahun 5 seramai 6 orang dan tahun 6 seramai 9 orang. Bilangan guru pula adalah 12 orang termasuk Guru Besar dan kerani sekolah dipinjam oleh PPD.

Tanggapan pertama aku terhadap sekolah ini ialah Guru Besarnya, Encik Yahya bin Rosli, merupakan seorang ketua yang amat mesra dan mudah untuk didekati. Guru-guru yang lain amat peramah dan mudah untuk menghulurkan bantuan.

Di sekolah baru ini, aku diberi tugas mencabar, tiada bezanya dengan sekolah terdahulu. Walaupun sekolah ini dikategorikan sebagai SKM, namun beban tugas tetap sama. Tiada istilah "kerja rileks" walaupun sekolah ini kurang murid. Perancangan sasaran prestasi dan strategi diatur selayaknya sebuah sekolah yang mensasarkan kecemerlangan dalam semua bidang.

Perpindahan setara ke stesen baru ini aku anggap sebagai pelengkap kepada portfolio perkhidmatan aku di Sarawak, pengalaman bertugas di kawasan pedalaman, luar bandar dan sekolah kurang murid. Ini adalah cabaran dan peluang untuk aku memahirkan diri dalam kerjaya ini.



Sunday, April 10, 2011

Sekolah baru..

SK Sungai Rimu.. Esok aku akan memulakan tugas di sekolah baru. Terasa seperti baru posting. Itulah perasaannya setiap kali bertukar tempat bertugas. Cuma berbekalkan pengalaman yang sedikit ini, aku berharap agar segala tanggungjawab yang diberi kepadaku dapat dilaksanakan dengan jayanya.



Sunday, March 27, 2011

Amalan Sunat Menyambut Kelahiran..

(gambar hiasan: Raja Sharifah Nafisah)

Tahun ini banyak berita gembira yang dikhabarkan kepada aku. Ramai rakan-rakan dan sanak saudara yang bakal menimang cahaya mata. Kelahiran merupakan satu rahmat berserta amanah yang perlu dipikul di pundak suami isteri di samping kehadirannya membawa barakah dan rahmat ke dalam sesebuah keluarga.

Di sini aku ingin berkongsi sedikit info sebagai makluman, memandangkan aku sendiri pun bakal bergelar abi tidak lama lagi, insya Allah, berikut adalah amalan-amalan sunat yang dilakukan sebagai tanda kesyukuran menyambut kelahiran:

1. Azan dan iqamat

Anak lelaki di azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kiri.

Anak perempuan di iqamat hanya pada telinga kiri.

Sabda Rasulullah SAW diriwayat oleh Baihaqi dan Ibnu Sunni dari Hasan bin Ali: “Sesiapa yang melahirkan anak maka hendaklah ia melakukan azan di telinga anaknya yang kanan serta iqamat pada telinga kiri, nescaya anak tidak dicabuli oleh Ummu Sibyan (jin perempuan yang mengganggu kanak-kanak)”

Ada yang mengkritik hadith ini kerana statusnya dhaif. Akan tetapi Ibn al-Qayyim tetap menggalakkannya kerana menurutnya biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.

2. Membaca surah al-Ikhlas dan ayat 36 surah al-Imran.

Rahsia dan kelebihannya adalah agar anak dihindari daripada gangguan dan tipu daya syaitan, menandakan kehebatan alam semesta ciptaan Allah, mengajar syariat Islam (melalui kalimah syahadah) dan menanamkan kalimah mulia dalam hati.

3. Memberi nama yang baik

Nama yang baik adalah nama-nama yang ada hubung kait dengan Islam atau pengertian yang indah. Tegas Rasulullah SAW diriwayat oleh Muslim: “Nama-nama kamu yang kamu paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman”

4. Tahnik (Belah Mulut)

Menggunakan buah tamar yang dimamah lumat dan disuapkan sedikit kepada bayi dan gerakan ke kanan dan ke kiri. Ini bertujuan untuk mendidik bayi agar mudah menyusu dan menjana sifat taqwa, kesejahteraan dan kefasihan lidah.

5. Cukur rambut

Sunat mencukur rambut bayi ketika bayi berusia 7 hari. Berat rambut ditimbang sama dengan nilai emas atau perak dan disedekah dengan nilainya kepada fakir miskin. Bercukur boleh melebatkan rambut, menguatkan kulit kepala, menyuburkan pancaindera (mata, penglihatan, pendengaran dan deria bau). Adalah dilarang membuat jambul. Rasululah SAW menegaskan dari Abdilah bin Omar r.a berkata (hadis riwayat al-Sahihain): “Rasululah SAW telah melarang meninggalkan rambut bertompok-tompok”

6. Aqiqah

Sunat melakukan aqiqah ketika bayi berusia 7 hari.

Dari Samrah bin Jundub r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (hadis riwayat Abu Daud): “Tiap-tiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya. Disembelih kambing atau biri di hari yang ketujuh dan dicukurkan rambut serta diberi nama ke atasnya”.

Anak lelaki disunatkan sembelih dua ekor kambing atau biri-biri dan satu ekor bagi anak perempuan (kambing atau biri sampai umur seperti untuk korban).

Dari Habibah binti Maisarah (hadis riwayat Abu Daud): ”Ia pernah mendengar Rasululah SAW berkata untuk lelaki dua ekor kambing yang sama besar dan untuk perempuan seekor kambing”

Daging aqiqah digalakkan di masak gulai manis dan tulangnya tidak dipatahkan.

Sabda Rasululah (hadis riwayat al-Baihaqi): “Dari Aisyah r.a yang sunat dua ekor kambing yang sekupu (sama besar) untuk bayi lelaki dan bayi perempuan seekor dimasakkan secara berangkai-rangkai dan jangan dipatah-patahkan”

9. KHITAN / SUNAT

Hukum khitan atau bersunat juga adalah khilaf sama ada wajib atau sunat. Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan. Mengenai waktu berkhitan, digalakkan untuk melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Akan tetapi ianya boleh dilaksanakan sehinggalah ke umur mukallaf. Berkhitan mempunya hikmah yang pelbagai, antaranya ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.

10. DOA

Anak-anak perlu dilihat sebagai saham kita untuk masa hadapan. Ini kerana ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh. Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah al-Furqan ayat 74:


"Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kami imam kepada orang yang bertaqwa."



kredit :
Link

Friday, March 25, 2011

Menampal "Like Button" Facebook di blog post anda..

Oleh kerana aku sering ditanya tentang cara meletakkan Like Button Facebook pada setiap post blog, maka di sini aku nak kongsi sedikit kaedah yang perlu dilakukan bagi mereka yang kurang mahir tentang hal ini.


Meletakkan Like Button adalah cara yang paling mudah untuk mempromosi hasil penulisan anda seterusnya meningkatkan aliran trafik ke blog anda. Apabila pembaca mengklik Like pada post anda, ia akan muncul pada wall facebook mereka.

Kaedah

1. Pergi ke Dashboard > Design > Edit HTML > tick Expand Widget Templates
2. Klik Ctrl + F  untuk mencari code : data:post.body
 
Selepas code ini, copy and paste code HTML ini:

<iframe allowTransparency='true' expr:src='"http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=" + data:post.url + "&amp;layout=standard&amp;show-faces=true&amp;width=530&amp;height=60&amp;action=like&amp;colorscheme=light"' frameborder='0' scrolling='no' style='border:none; overflow:hidden; width:530px; height:60px'/>


Ambil perhatian pada medan yang telah ditanda. Selamat mencuba..

Thursday, March 24, 2011

Tahun 2011 (delayed mode)


Sudah agak lama aku tidak masukkan sebarang post dalam blog ni. Kekangan masa sentiasa menghambat untuk meluangkan masa menghadap blog. Blog ini agak terbiar sehinggalah aku terbuka satu blog yang menggunakan template yang sama macam yang aku gunakan. Maklumlah, aku menggunakan free template, jadi tidak hairanlah jika ada blog yang menggunakan template yang sama. Oleh sebab itu aku mula melakukan pembersihan.

Tahun 2011 dimulakan dengan perasaan yang berbaur (sekarang sudah di akhir bulan Mac). Di sekolah yang sama dengan rutin kerja yang sama, terpulang pada aku untuk mengadaptasi supaya momentum dapat dikekalkan.

Tugasan tahun 2011 dimulakan sebagai Guru Tahun 4, Guru Data, Guru Panitia, Guru Rumah Sukan, Guru Penasihat Pengakap, Guru RMT, Guru Kelas Tambahan, Penyelaras JK SMM, Juruaudit Dalaman dan Guru Pusat Akses ICT. Tugasan yang penuh cabaran dan berbeza berbanding tahun lepas.

Muhasabah Diri.

Prestasi sehingga bulan Mac, pengurusan jadual sedikit teratur. Walaupun banyak tugasan, aku masih boleh santai di rumah. Tiada beban tugas yang perlu dibawa ke rumah sehingga mengurangkan waktu tidur malam.

Misi

Misi tahun ini adalah untuk melengkapkan modul latihan pengayaan untuk murid lemah. Semoga program yang dirancang dapat mengubah sesuatu menjadi lebih baik.