Monday, April 18, 2011

Penambahbaikan..


Setelah sekian lama blog ini berfungsi menuju satu arah sahaja, maka di sini aku ingin membuat sedikit penambahbaikan bagi mempelbagaikan fungsi blog ini.

Dalam blog ini telah disediakan link download bagi fail-fail berguna dalam bentuk PDF (ebook). Ini merupakan langkah pertama sebelum blog ini berpindah tapak.

Segala fail yang dimuat naik merupakan koleksi peribadi aku, meliputi topik akademik, kokurikulum, agama dan ICT. Fail-fail tersebut akan dimuat naik secara beransur-ansur. Tiada caj yang dikenakan, ia diniatkan sebagai sedekah jariah bagi sesiapa yang memuat turun fail tersebut..



Saya Yang Menurut Perintah


Hari ini genap seminggu aku bertugas di stesen baru, SK Sungai Rimu. Seminggu merupakan jangka masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baru, rutin kerja yang baru dan tugasan yang baru. Permulaan yang segar untuk aku pada bulan April ini.

SK Sungai Rimu terletak kira-kira 38 KM dari bandar Serian. Jaraknya kurang sedikit berbanding stesen terdahulu. Ia terletak di kawasan Perkampungan Bidayuh, Kampung Paon Rimu. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan sekolah kurang murid (SKM). Murid tahun 1 seramai 10 orang, tahun 2 seramai 4 orang, tahun 3 seramai 6 orang, tahun 4 seramai 10 orang, tahun 5 seramai 6 orang dan tahun 6 seramai 9 orang. Bilangan guru pula adalah 12 orang termasuk Guru Besar dan kerani sekolah dipinjam oleh PPD.

Tanggapan pertama aku terhadap sekolah ini ialah Guru Besarnya, Encik Yahya bin Rosli, merupakan seorang ketua yang amat mesra dan mudah untuk didekati. Guru-guru yang lain amat peramah dan mudah untuk menghulurkan bantuan.

Di sekolah baru ini, aku diberi tugas mencabar, tiada bezanya dengan sekolah terdahulu. Walaupun sekolah ini dikategorikan sebagai SKM, namun beban tugas tetap sama. Tiada istilah "kerja rileks" walaupun sekolah ini kurang murid. Perancangan sasaran prestasi dan strategi diatur selayaknya sebuah sekolah yang mensasarkan kecemerlangan dalam semua bidang.

Perpindahan setara ke stesen baru ini aku anggap sebagai pelengkap kepada portfolio perkhidmatan aku di Sarawak, pengalaman bertugas di kawasan pedalaman, luar bandar dan sekolah kurang murid. Ini adalah cabaran dan peluang untuk aku memahirkan diri dalam kerjaya ini.



Sunday, April 10, 2011

Sekolah baru..

SK Sungai Rimu.. Esok aku akan memulakan tugas di sekolah baru. Terasa seperti baru posting. Itulah perasaannya setiap kali bertukar tempat bertugas. Cuma berbekalkan pengalaman yang sedikit ini, aku berharap agar segala tanggungjawab yang diberi kepadaku dapat dilaksanakan dengan jayanya.