Sunday, December 18, 2011

Keputusan Semakan Latihan Perguruan Bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa


Sukacita dimaklumkan bahawa Keputusan Semakan Latihan Perguruan bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) Ambilan Disember 2011 Mod Sepenuh Masa boleh dibuat mulai 19 Disember 2011 melalui Laman Web berikut



Semoga para GSTT yang tersenarai nama untuk mengikuti latihan perguruan ini akan memberikan komitmen sepenuhnya sebagai pendidik. Jangan hiraukan kata-kata sinis graduan pendidikan yang lain dan dan jangan tawar dengan cabaran semasa dunia pendidikan.

Kepakaran anda sebagai graduan dalam pelbagai bidang kritikal amat diperlukan bagi memperkasakan dunia pendidikan negara.

Selamat Maju Jaya. Ini juga sebagai satu perangsang dan nasihat untuk isteri tersayang yang turut tersenarai antara yang terpilih untuk mengikuti latihan perguruan ini.



Majlis Bercukur : Meraikan Adat tanpa Meminggirkan Sunnah Nabawi


Pada 18 Disember, iaitu semalam, telah berlangsung Majlis Bercukur dan doa selamat bagi meraikan kelahiran putera sulung kami, Raja Hasif Zhafran. Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran sanak saudara dan penduduk kampung yang turut sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan bagi bayi muslim yang baru lahir ini.

Amalan cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan tidak selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu.

Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Turmudzi)

Justeru itu, perlu dijelaskan bahawa Majlis yang aku izinkan untuk diadakan ini adalah sekadar meraikan adat dan menjamu sanak saudara sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Illahi di atas anugerah ini.

Sunnah dijunjung sebaik sahaja bayi ini lahir ke dunia. Nama diberi dan ditahnik sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada cucunya, Hasan dan Husin.

Rupa Hasif sebelum rambut dicukur

Rupa Hasif selepas rambut dicukur

Dengan diiringi selawat ke atas Nabi SAW, para ibu yang hadir diberi penghormatan untuk menggunting rambut Hasif dan diperkenalkan kepada tetamu dan sanak saudara yang hadir.



Alhamdulillah, semoga Hasif terus membesar dengan sihat dan menjadi sandaran harapan Abi dan Umi.




Thursday, December 8, 2011

Menyelusuri Khazanah Petua Ayahanda

Sebagai ibu bapa, kesihatan dan keselamatan anak merupakan perkara yang paling utama yang dititikberatkan sejak di awal kelahiran. Ini yang aku rasai. Tidur malam tidak lagi lena kerana sentiasa mengawasi anak yang baru lahir ini.

Berita muktahir tentang kejadian bayi lemas semasa tidur, mati kerana tersedak susu, diterajang bapa kerana menangis dan bermacam-macam lagi kejadian, menjadi igauan bagi ibu bapa seperti aku.

Doa keselamatan dan selawat syifa sentiasa dialun bagi memohon agar keselamatan dan kesihatan anak tersayang tetap terpelihara.

Apabila anak tidak sihat, ibu bapa akan kalut untuk mencari jalan bagi mengubatinya. Pelbagai cara diusahakan sama ada perubatan moden mahupun tradisional.

Bagi aku, satu demi satu petua yang pernah diajar oleh ayahanda satu ketika dahulu kembali segar dalam ingatan. Terima kasih kepada ayahanda kerana mewarisi amalan petua yang amat membantu ini.

Salah satu petua yang diajar ialah penggunaan tuam seperti gambar di atas untuk membuang angin dalam badan. Amat berguna bagi meredakan kembung perut. Tuam ini dibuat sendiri oleh ayahanda dan kini aku mewarisinya.

Tiada yang istimewa pada tuam ini. Tidak ada jampi untuk diamalkan bersama tuam ini. Hanya tawakal kepada Allah SWT. Tuam yang mengandungi rempah ratus, herba dan akar kayu ini dipanaskan dengan menggunakan api pelita, lilin atau seterika, kemudian ditekap ke anggota badan yang ingin dituam.

Aku mengamalkan penggunaan tuam ini 2 kali sehari setiap kali Hasif selesai mandi. Sambil-sambil aku tuam badan Hasif, aku dan Ummu Hasif bersama-sama mengurut dan membelai badan Hasif dari muka hingga ke hujung kaki. Teknik urutan bayi banyak dibincangkan di internet dan mudah dipelajari.

Harapan aku semoga Hasif membesar menjadi anak yang sihat dan berbakti kepada agamanya.



Sunday, December 4, 2011

Permata Cinta Almarhum Ayahanda

"... bila abah takde nanti, kome jaga mak elok-elok. Kome jangan bagi dia menangis disebabkan kerenah saudara-mara."

Ini pesanan abah yang aku dengar dengan telinga aku sendiri. Aku cukup faham, mak adalah permata cinta hati abah yang amat bernilai. Keunggulan kasih sayang mereka terbukti secara visual semasa mak menjaga abah sehingga ke saat akhir hayatnya.

Kesabaran dan ketabahan mak begitu mengharukan. Tiada keluhan kepenatan, tiada omelan yang menyakitkan hati, tiada leteran yang memekakkan telinga, tiada air mata kekesalan. Segala keperluan abah, dipenuhi tanpa bertangguh. Segala kelemahan dan kekurangan abah, ditutup serapatnya sehingga anak sendiri tidak mengetahui.

Linangan air mata abah di penghujung hayat menzahirkan cintanya pada mak.

Aku yakin abah redha dengan mak, semoga Allah SWT juga meredhai mak.

Didikan yang diberi oleh mak dan abah sudah cukup sempurna.

Kami adik beradik akan menjaga mak. Sesiapa yang melukakan hati mak, akan berhadapan dengan kami 9 adik beradik. Sesiapa yang berlaku kurang ajar dengan mak, akan merasa bahananya. Sesiapa yang merampas hak mak, akan menerima pengadilannya. Ini amaran aku..