Saturday, November 26, 2011

1st Anniversary

Alhamdulillah.. Salam Hijratul Rasul.. Hari ini 27 November, merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang pertama.

Ummu Hasif masih lagi dalam berpantang. Syukur tidak terhingga kerana sambutan ulang tahun ini diserikan dengan kehadiran orang baru yang menjadi sumber semangat kami berdua.

Hasif sudah berumur 38 hari. Begitu pantas masa berlalu. Semoga anak ini membesar dengan sempurna dan menjadi sandaran harapan kami berdua.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Yang Pertama
Abu Hasif & Ummu Hasif

Semoga Allah SWT terus memberkati hidup kita


Friday, November 25, 2011

Sudah naik buai..

Masa berlalu begitu cepat. Sedar tak sedar, Hasif sudah berumur 37 hari. Menjadi seorang abi ni adalah satu pengalaman yang sangat istimewa. Syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan ini.

Kasihan pada Ummu Hasif yang selalu berjaga malam mendodoikan Hasif. Aku pun berjaga juga tapi selalunya aku yang tidur dulu dari Hasif.

Terima kasih kepada keluarga mertua yang sentiasa membantu dan mak aku yang banyak memberi nasihat walaupun berada jauh di Perak.

Masuk hari yang ke-25, Hasif sudah diajar untuk tidur dalam buaian. Kalau ikutkan, aku mahu Hasif tidur di atas tilam sahaja. Tetapi atas nasihat keluarga, Ummu Hasif tidurkan Hasif di dalam buaian.

Lena sungguh Hasif bila berada dalam buaian.



Thursday, November 17, 2011

Ramai-ramai serbu sekolah untuk dapatkan RM100..

Pada pembentangan Bajet 2012 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Pertama telah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Persekolahan 2012 sebanyak RM100 bagi setiap murid sekolah. Bagi memastikan hasrat kerajaan ini terlaksana, maka pihak sekolah diamanahkan untuk mengagihkan bantuan ini kepada semua murid.

Bagi SK Muhammad Jabar, satu majlis khas diadakan untuk menyampaikan bantuan kewangan ini. Majlis ringkas ini dimulai dengan ucapan alu-aluan dari Guru Besar, diikuti dengan ucapan YDP PIBG dan seterusnya ucapan penerangan saduran kempen dari wakil Ahli Parlimen Raub.

Guru-guru kelas diberi tanggungjawab untuk menyelia pengagihan bantuan kewangan ini dengan dibantu oleh guru-guru yang lain.

Keceriaan penuh kesyukuran jelas terpancar di wajah ibu bapa yang hadir untuk menerima bantuan ini. Diharapkan semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan awal bagi anak-anak menjalani sesi persekolahan pada tahun 2012. Besar harap kerajaan agar bantuan ini digunakan untuk keperluan anak-anak dan bukan disalahgunakan oleh ibu bapa bagi tujuan yang lain.


Hari Anugerah Cemerlang 2011 SK Muhammad Jabar

Hari Anugerah Cemerlang.. ini merupakan acara wajib bagi setiap sekolah bagi menghargai murid-murid yang menunjukkan kecemerlangan dari aspek akademik mahupun kokurikulum. SK Muhammad Jabar juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan acara tahunan ini. Dianggarkan lebih 200 orang murid menerima hadiah prestasi mengikut kategori yang telah ditetapkan. Sekadar angka anggaran sahaja sebab aku malas nak kira dengan tepat walaupun aku pengacara majlis pada hari tu.

Tahniah... Ini antara wajah ceria penerima anugerah prestasi yang sempat aku rakam. Tugas sebagai juru acara membataskan pergerakan aku untuk meninjau suasana majlis.

Majlis turut diserikan dengan tarian joget dari murid prasekolah. Ini pasukan joget yang mewakili SK Muhammad Jabar dalam Pertandingan Joget Prasekolah Daerah Raub yang lalu. Tahun depan mana tahu sekiranya aku pula berpeluang mengajar tarian bilangi (tarian etnik bidayuh) kepada mereka.. hahaha...

Ini pula model yang memperagakan pakaian etnik bidayuh dan kadazan. Baju etnik bidayuh ini merupakan satu-satunya hadiah berharga dari ketua kaum tempat aku mengajar dulu dan masih aku simpan sebagai kenang-kenangan.

Walaupun majlis ini amat meriah, tetapi jauh dihati aku, aku masih teringatkan kemeriahan dan kemesraan semasa mengendalikan majlis anugerah di SK Mentu Tapu. Kemeriahan dalam kesederhanaan itu amat bernilai..



Kembali Aktif...

Pada 8 November yang lalu, aku telah diamanahkan untuk membawa 4 orang murid bagi mengikuti Kursus Kenaikan Pangkat KRS / TKRS Daerah Raub. Sudah lama aku tidak bergiat aktif dalam Pasukan KRS ini. Semenjak dinaikkan pangkat kepada Leftenan KRS 2 tahun lepas, ketiga-tiga set uniform aku hanya tergantung di dalam almari. Kini, di tempat baru, aku kembali aktif sebagai jurulatih KRS.

Sepanjang mengikuti kursus ini, kadet yang aku bawa berjaya lulus bagi setiap modul penilaian. Di akhir kursus, keempat-empat kadet berjaya dinaikkan pangkat kepada Koperal TKRS.

Tahniah diucapkan dan aku harap keempat-empat Koperal TKRS ini dapat membantu aku untuk memperkasakan pasukan TKRS SK Muhammad Jabar pada tahun hadapan.

"Ilmu, Iman, Amal'