Monday, May 30, 2011

Bertugas di tempat baru..

Pendidik Bumi Kenyalang
Berdiri teguh berjanji tetap setia
Memimpin mendidik putera puteri Sarawak
Menuju cita mulia......

Terasa terngiang-ngiang di telinga aku melodi lagu Pendidik Bumi Kenyalang.

Setelah 3 tahun menimba pengalaman di Sarawak ini, maka tiba masanya untuk aku beralih angin untuk meneruskan khidmat di tempat baru. Berubah untuk memajukan diri.

Terima kasih kepada rakan-rakan di Bumi Kenyalang kerana sudi bersaudara dan menjadi keluarga kepada ku sepanjang aku berada di sini. Tidak lupa juga kepada penduduk kampung Mentu Tapu dan kampung Paon Rimu, terima kasih kerana sudi menerima kehadiran aku untuk mendidik anak-anak kalian.

Semoga kita dapat bertemu lagi di lain waktu.. Terima kasih tidak terhingga dan hingga bertemu lagi..



Sunday, May 29, 2011

Rindu Ayahanda Tercinta..


Tarikh ini datang lagi.. kenangan lalu kembali segar dalam ingat, lebih segar dari masa-masa sebelumnya.

Masih hangat terasa pipi ini dikucup lembut oleh ayahanda.

Masih terasa denyutan pergelangan tangan ini disentak oleh ayahanda.

Masih terasa usapan lembut di bahu apabila ayahanda memujuk.

Segalanya masih segar walaupun sudah 8 tahun ayahanda kembali kepangkuan Maha Penyayang. Kasih sayang dan didikan yang diberi menjadikan diri aku pada hari ini. Akan aku teruskan perjuangan ayahanda dan aku akan cuba mencontohi tauladan dirimu dalam mendidik anakku agar menjadi muslim yang bertakwa.

AL-FATIHAH untuk Ayahanda tercinta
Al-Marhum Raja Abdul Rahman bin Raja Abdul Jalil
10 Feb 1947 – 30 Mei 2003



Saturday, May 14, 2011

Jako Iban : Selamat Hari Pengajar..


Kita selusuri latar belakang sejarah tercetusnya idea hari guru ini. Kita menyambutnya saban tahun, meraikannya, sampai jarang untuk kita menghayati cerita-cerita di sebalik hari guru ini.

Di Malaysia, hari guru disambut lantaran penerimaan Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan olen Laporan Jawatankuasa Pelajaran.

Tarikh penerimaan cadangan ini ialah pada 16 Mei 1956, maka bermula dari situ kita terus mengambil tarikh itu untuk menyambut hari guru saban tahun.

Setiap negara mempunyai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Melalui jalan sejarah itu, mereka akan melalui hari-hari yang tentunya berbeza dengan rakyat negara kita. Hasilnya, sambutan yang diraikan sepeti hari guru ini juga berbeza.

Di Amerika contohnya, sambutan hari guru ini disambut pada hari Selasa pertama dalam bulan Mei. Persatuan Pendidikan Kebangsaan di sana menyatakan bahawa sambutan hari guru ini adalah untuk menyambut dan menghargai segala sumbangan para guru kepada masyarakat.

Di India berbeza pula. Hari guru disambut bersempena oleh presiden negara mereka yang kedua yang juga merupakan seorang pendidik yang amat berdedikasi. Hari guru yang disambut pada 5 September itu sesetengahnya diraikan dengan pelajar-pelajar senior akan mengambil alih tugas mendidik pada hari tersebut sebagai penghargaan kepada guru-guru mereka.

Selamat Hari Guru Kepada semua warga pendidik
khususnya kepada warga pendidik Bumi Kenyalang

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara







Sunday, May 1, 2011

Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40


"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"
Lirik Lagu Tema Hari Guru 2011

Bersatu kita menuju paradigma yang baharu
Satu tekad dan harapan menyahut cabaran dunia
Pendidik berkualiti demi mencapai visi
Dengan azam yang murni membentuk akhlak terpuji

Guru mendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi masa depan
Guru penjana transformasi pendidikan negara
Menjayakan hasrat yang murni 1 Malaysia

Pendidik berinovasi menghasilkan kreativiti
Bersedia hadapi cabaran
Arus tanpa sempadan

Pendidik yang berkualiti
Membentuk akhlak terpuji
Mengimbangkan rohani
Jati diri dan jasmani

Guru mendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi masa depan
Guru penjana transformasi pendidikan negara
Menjayakan hasrat yang murni 1 Malaysia
1 Malaysia.. 1 Malaysia

Lagu & Lirik : Rosman Adam


Sila klik download untuk memuat turun Lagu Tema Hari Guru 2011

Sila klik download untuk memuat turun Lagu Pendidik Bumi Kenyalang



Persediaan Menyambut Orang Baru..

(Gambar 3D sekadar hiasan)

Selalunya bila search di internet tentang persiapan menyambut kelahiran, kerap kali terjumpa artikel yang ditulis dari perspektif seorang ibu atau bakal ibu. Persediaan bagi seorang ibu sudah diketahui umum, meliputi penjagaan kesihatan, senaman dan kebersihan. Ia banyak dibincangkan di mana-mana laman. Setakat ini aku belum jumpa artikel yang ditulis dari perspektif bapa.

Mendidik anak agar menjadi seorang Muslim yang sejati merupakan amanah bagi setiap ibu bapa. Lantaran keinsafan terhadap amanah yang dititipkan ini, ibu bapa perlu mendidik anak mengikut acuan yang betul.

Sejak dari awal lagi ibu bapa perlu membuat persediaan untuk mendidik anak. Persediaan yang penting bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, bahkan dari sudut kerohanian dan pendidikan. Keinsafan ibu dan bapa terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik dan ketua perlu ditanam agar anak yang lahir nanti menerima layanan dan asuhan yang sewajarnya.

Antara persediaan awal termasuklah mendedahkan kepada janin dengan alunan yang murni di samping bersedia memilih nama yang sesuai untuk anak itu. Seseorang anak perlu dididik ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Walaupun anak itu belum mampu berkata-kata atau melihat, namun dia dipercayai sudah boleh mendengar, merasai, dan menerima gelombang perasaan dari ibunya atau orang-orang yang berhampiran.

Oleh yang demikian, ibu dan bapa digalakkan banyak menenangkan perasaan dengan membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur. Ayat-ayat suci yang dibacakan itu dapat mendamaikan hati ibu seterusnya membantu perkembangan jiwa murni anak. Suara bacaan al-Quran juga mampu mendatangkan barakah dan rahmah dalam pembentukan anak.

Bahkan ada juga yang berpendapat pengaruh pengajaran yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang dialunkan itu mampu menyelinap masuk ke dalam sanubari janin, lantas membentuk potensi peribadi soleh sebagaimana terkandung dalam pengajaran ayat itu.

Lantaran itu, terdapat gesaan agar anak dalam kandungan tadi diperdengarkan bacaan Surah Luqman yang mengandungi pengajaran-pengajaran ke arah menjadi anak soleh, di samping surah-surah lain seperti Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insyirah, Surah Al-Alaq, Surah Maryam dan Surah Yusuf.

Memanggil janin di dalam kandungan dengan nama yang baik juga merupakan satu perkara yang patut diamalkan. Janin yang sedang membesar membentuk manusia yang sempurna, alangkah indahnya jika dipanggil dengan nama yang baik, berbanding dengan hanya memanggil ‘baby’ sahaja. Walaupun belum dipastikan lagi jantinanya, tidak salah untuk memanggil dengan nama pilihan yang baik-baik.

“Abi nak baca Al-Quran ni, Aiman (yang bertuah) dengar ye”
“Aiman (yang bertuah), umi nak solat, Aiman duduk diam-diam ye”

Terasa lucu bila mendengar ucapan seperti ini dari mulut rakan-rakan yang bakal menimang cahaya mata, akan tetapi ada rasionalnya, mendidik anak bermula dari rahim ibu.

Si ibu juga dianjurkan agar bertaubat dan membersihkan jiwa serta mengelakkan dari terjebak dalam maksiat dan lagha sepanjang mengandung. Perasaan ibu perlulah damai. Jika stress, bayi boleh menjadi lemah.

Wujudkan suasana girang, gembira dan syukur. Elakkan kemuraman, pertengkaran dan kalimah-kalimah yang kotor. Oleh itu peranan bapa selaku lelaki paling hampir amatlah penting. Bahkan bapa disarankan juga perlu bergilir-gilir membaca al-Quran dan berzikir bagi menceriakan halwa telinga anak yang di dalam kandungan.

Semoga kita semua boleh laksanakan, agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah – bukan anak-anak yang derhaka pada kita…