Thursday, December 8, 2011

Menyelusuri Khazanah Petua Ayahanda

Sebagai ibu bapa, kesihatan dan keselamatan anak merupakan perkara yang paling utama yang dititikberatkan sejak di awal kelahiran. Ini yang aku rasai. Tidur malam tidak lagi lena kerana sentiasa mengawasi anak yang baru lahir ini.

Berita muktahir tentang kejadian bayi lemas semasa tidur, mati kerana tersedak susu, diterajang bapa kerana menangis dan bermacam-macam lagi kejadian, menjadi igauan bagi ibu bapa seperti aku.

Doa keselamatan dan selawat syifa sentiasa dialun bagi memohon agar keselamatan dan kesihatan anak tersayang tetap terpelihara.

Apabila anak tidak sihat, ibu bapa akan kalut untuk mencari jalan bagi mengubatinya. Pelbagai cara diusahakan sama ada perubatan moden mahupun tradisional.

Bagi aku, satu demi satu petua yang pernah diajar oleh ayahanda satu ketika dahulu kembali segar dalam ingatan. Terima kasih kepada ayahanda kerana mewarisi amalan petua yang amat membantu ini.

Salah satu petua yang diajar ialah penggunaan tuam seperti gambar di atas untuk membuang angin dalam badan. Amat berguna bagi meredakan kembung perut. Tuam ini dibuat sendiri oleh ayahanda dan kini aku mewarisinya.

Tiada yang istimewa pada tuam ini. Tidak ada jampi untuk diamalkan bersama tuam ini. Hanya tawakal kepada Allah SWT. Tuam yang mengandungi rempah ratus, herba dan akar kayu ini dipanaskan dengan menggunakan api pelita, lilin atau seterika, kemudian ditekap ke anggota badan yang ingin dituam.

Aku mengamalkan penggunaan tuam ini 2 kali sehari setiap kali Hasif selesai mandi. Sambil-sambil aku tuam badan Hasif, aku dan Ummu Hasif bersama-sama mengurut dan membelai badan Hasif dari muka hingga ke hujung kaki. Teknik urutan bayi banyak dibincangkan di internet dan mudah dipelajari.

Harapan aku semoga Hasif membesar menjadi anak yang sihat dan berbakti kepada agamanya.



No comments:

Post a Comment