Thursday, 29 October 2009

Ukhwah selamanya..



24-27 Oktober : Sepanjang tarikh ni, aku berasa begitu gembira sebab sahabat lama aku datang menziarahi aku sambil bercuti di Sarawak ni.


Aku cukup puas hati sebab mereka ni bukan sekadar kawan, tapi sahabat yang banyak berkongsi suka duka, pahit manis perjuangan semasa menuntut ilmu sehingga kami berada di tahap sekarang..

Setelah begitu lama berpisah membawa haluan masing-masing, kami berkumpul sekali lagi untuk mengukuhkan persahabatan. Persahabatan tetap kukuh dan mesra seperti dahulu..

Sepanjang pertemuan ini, kenangan-kenangan semasa kecil, zaman dajal dulu, tetap menjadi topik perbualan. Sekadar mengimbas kenangan yang membentuk jati diri sehingga kami berada pada tahap sekarang.

Cerita tentang kenakalan dan kedegilan semasa bersekolah, begitu menyentuh perasaan. Nakal sungguh aku ni. Sahabat-sahabat masih lagi mengingati gurauan ganas yang kadangkala menggugat kesabaran.

Syukur Alhamdulillah.. kenakalan yang membentuk jati diri ini telah membuatkan kami semua menjadi manusia yang mampu berbakti kepada insan-insan yang kami sayangi.

Semoga Allah perkukuhkan persahabatan ini..

-Dari kiri : Dr. Najib, Dr. Fariq, Dr. Firdaus, Dr. Razak, Cikgu Dain, Cikgu Saiful-

Tuesday, 13 October 2009

Temuduga SPP

Alhamdulillah.. aku sudah pun selesai menghadiri temuduga lantikan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41 di bangunan SPP cawangan Kuching pagi tadi.. Kepada rakan-rakan yang bakal ditemuduga, semoga berjaya.

Sesi temuduga yang berlangsung selama lebih kurang 20 minit mengikut kiraan tidak rasmi aku, berjalan dengan lancar tanpa mengikut perancangan langsung. Ini kerana lain yang aku pulun study (walaupun pada hakikatnya aku tak ada masa sangat nak study), lain pula yang tuan penemuduga tanya. Tapi syukur alhamdulillah, tiada masalah untuk aku menjawab setiap soalan yang diajukan.

Sesi temuduga dimulai dengan simple ice breaking oleh tuan penemuduga dengan mengajukan soalan tentang diri aku, latar belakang, tempat bertugas dan suasana tempat bertugas.

Kemudian soalan yang menjurus kepada objektif temuduga SPP diajukan kepada aku. Aku ditanya tentang soalan berkaitan teras pendidikan negara iaitu PIPP dan Wawasan 2020, kaitkan teras yang terkandung dalam dasar-dasar ni dengan P&P di sekolah.

Soalan seterusnya tentang sistem pelajaran masa kini. Pengetahuan aku diuji dengan soalan tentang definisi sekolah kluster dan bagaimana kaedah menilai pencapaian sekolah dalam kluster masing-masing.

Soalan terakhir adalah berkaitan isu semasa. Mujur la aku ni up to date sikit, boleh la jawab dan ulas apa-apa yang patut, siap boleh bertukar-tukar pendapat dengan tuan penemuduga tentang isu panas di negeri asal aku. hehehe.. Tapi masih lagi maintain neutral..

Tuesday, 6 October 2009

Panggilan Temuduga

13 Oktober ni aku akan menghadiri temuduga lantikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Kuching.

Semoga segala urusanku dipermudahkan. Banyak perkara yang perlu diambil perhatian. Aku kena buat persedian betul-betul kerana ini yang aku tunggu-tunggu selama ini.

Monday, 28 September 2009

Untitle..

Hari ini hari pertama sesi persekolahan selepas cuti sempena Aidilfitri.. Aku kembali ke sekolah dengan semangat yang belum sepenuhnya pulih. Terlalu banyak perkara yang membebani fikiran ini..

Aku perlukan kekuatan untuk terus fokus kepada tanggungjawab aku sebagai guru dan sebagai anak..

Berita terbaru tentang Cikgu Kilum, dia sekarang telah menunjukkan sedikit perkembangan yang positif. Dia telah mula memberi respon apabila diajukan soalan. Ini satu petanda yang baik. Semoga dia cepat sembuh hendaknya.


Friday, 18 September 2009

Berita Sedih..

Aku sekarang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sedang menunggu masa utk check in.. Tapi hati ni terasa berat je. Bukan sebab tak teruja untuk pulang ke kampung berhari raya, tapi sebab sahabat yang banyak membantu aku sejak aku mula-mula menjejakkan kaki di bumi kenyalang ni sedang terlantar koma di Hospital Umum Kuching.

Awal pagi kelmarin sesudah subuh, aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari cikgu Sata. Dalam keadaan panik, cikgu Sata bagitahu aku, cikgu Kilum sakit. Aku yang masih lagi mamai, kurang cekap mentafsir berita mengejut tadi. Tak lama kemudian, Ustaz Suhazizi pula yang telefon bagitahu berita yang sama. Tanpa buang masa, aku capai t-shirt, wallet dan kunci kereta, aku berlari ke rumah cikgu Kilum. Aku terlambat sedikit, cikgu Sata dah pun bawa cikgu Kilum ke garaj kereta. Aku tak tunggu lama, walaupun di kejar anjing pagi tu, aku sempat juga sampai garaj sebelum cikgu Sata pergi.

SubhanaAllah.. aku tengok cikgu Kilum dah tidak sedarkan diri. Dengan bantuan orang kampung, cikgu Kilum dimasukkan ke dalam kereta dia sendiri dan aku pandu ke Hospital Serian.

Cikgu Kilum mengalami pendarahan otak yang agak serius dan tidak dapat dibedah kerana pendarahan itu di bahagian tengah otak. Salur darahnya pecah disebabkan tekanan darahnya yang sangat tinggi. Aku tidak sangka cikgu Kilum yang aktif ini mempunyai masalah darah tinggi.

Cikgu Kilum ni bagi aku merupakan seorang guru yang cukup prihatin dan baik dengan semua orang. Ini terbukti dengan luahan spontan orang-orang kampung apabila mendengar berita sedih ni. Ternyata dia amat disenangi oleh semua penduduk kampung.

Aku juga banyak belajar dari dia bagaimana menjadi guru yang sepatutnya. Sampaikan aku rasa, cara pergaulan aku dengan murid-murid dan orang kampung, cara aku mengajar, dah sama macam cara cikgu Kilum.. Satu pesanan dia yang paling aku ingat, "kita mendidik manusia dengan kasih sayang". Ini yang aku cuba lakukan selama ini..

Semoga cikgu Kilum cepat sembuh. Walaupun berlainan agama, tidak salah untuk aku sentiasa mendoakan kesihatannya..


- sehingga artikel ini ditulis, cikgu Kilum masih belum sedar lagi..

Wednesday, 26 August 2009

Salam Ramadhan


Salam Ramadhan untuk saudara-saudaraku di seluruh dunia. Semoga Ramadhan yang tiba ini membawa keberkatan dalam hidup semua. Syukur alhamdulillah, tahun ni aku dapat menyambut awal Ramadhan bersama keluarga. Bukan senang aku nak balik kampung bila dah merantau ni. Aku balik ni pun sebab dapat tiket flight murah. Tapi raya nanti tiket mahal la..

Kadar zakat fitrah tahun ini untuk negeri Perak adalah RM7. Aku kena tunaikan untuk diri dan keluarga sebelum aku berangkat.

Sempena Ramadhan ini, aku berpesan kepada diri aku dan saudara-saudara semua agar kita sama-sama memperbanyakkan amal ibadah. Lakukan yang termampu untuk merebut peluang yang datang cuma setahun sekali.

Semoga Ramadhan tahun ini menguatkan semangat aku untuk khatam Al-Quran. Mampu ke aku? Terlalu banyak hambatan dunia yang mengekang hasrat ini...

Saturday, 8 August 2009

Klinik UPSR 2009

8 Ogos: Sebagai satu usaha untuk memantapkan calon-calon UPSR 2009, SK Mentu Tapu telah menganjurkan Klinik UPSR sebagai wadah memotivasikan murid sebagai persiapan untuk menghadapi UPSR yang bakal tiba. Penceramah yang dijemput merupakan guru-guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Ibu bapa dan guru juga tidak ketinggalan untuk mengikut Klinik UPSR ini sebagai tanda sokongan kepada anak-anak mereka.