Wednesday, October 26, 2011

Pesanan Abi untuk Hasif..


Buat anakku, abi titipkan pesanan kekal agar menjadi panduan ketika dirimu memerlukan sekiranya ditakdirkan abi tiada disisi.

Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah Luqman, ayat 13)

Semat kukuh aqidah Islamiah di hatimu, Tiada Tuhan Selain Allah SWT dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. Al-Quran itu petunjuk yang nyata, Sunnah Nabawi ikutan setiap masa. Pegang 3 perkara ini agar menjadi darah dagingmu sepanjang hayat.

"Hai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan membalasnya. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”
(Surah Luqman, ayat 16)

Ikhlas dalam setiap amal perbuatanmu kerana apabila ia diterima di langit, sudah tentu makhluk di bumi tidak akan menolaknya.

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah.”
(Surah Luqman, ayat 17)

Selepas Hasif dilahirkan, abi azan dan iqamat ke telinga untuk mengingatkan kembali ikrarmu semasa di alam roh. Kedatanganmu ke dunia ini sebagai khalifah. Oleh itu, bertindaklah selayaknya untuk memakmurkan bumi Allah SWT ini, agar kehadiranmu penuh makna dan signifikan.

Apabila Hasif diuji Allah SWT dengan kesulitan, itu tandanya Allah SWT sedang menyatakan cinta-Nya kepadamu. Jangan sekali-kali berasa gundah. Ingatlah firman Allah SWT ini:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?”
(Surah al-Ankabut, ayat 2).

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
(Surah Luqman, ayat 18)

Pesanan abi yang terakhir, jagalah nama baik keluarga dan keturunanmu. Hasif merupakan pewaris aspirasi abi dan umi. Tiada harta dunia yang diwariskan, hanya nama baik keluarga yang dijaga dari satu generasi ke satu generasi.




Tuesday, October 25, 2011

Raja Muda keluarga kami


Segala puji bagi Allah, Tuhan Penguasa Alam.

20 Oktober 2011 bersamaan 22 Zulkaedah 1432 Hijrah, jam 1617, isteriku selamat melahirkan putera sulung kami. Bayi comel ini kami namakan Raja Hasif Zhafran bin Raja Dain Jazlands Shah. Penyambung kesinambungan warisan keluarga turun temurun. Pewaris ke-12 dari generasi ke-6 keturunan Raja Abdul Jalil bin Raja Uda.

Mulai hari ini, aku bergelar Abu Hasif dan isteriku bergelar Ummu Hasif.


Ahlan wa sahlan. Selamat Datang ke dunia yang mencabar ini.. Semoga anakku ini membesar menjadi insan yang soleh, berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara. Semoga berjaya di dunia dan akhirat.


Ya Allah, teguhkanlah aqidah anakku ini. Rahmatilah anakku dengan Al-Quran dan jadikanlah untuknya Al-Quran sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, ingatkanlah anakku ini apa yang dia terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Ajarkanlah anakku ini daripada Al-Quran apa yang belum dia ketahui. Berikanlah dia kemampuan membacanya sepanjang malam dan siang, dan jadikanlah Al-Quran itu hujah baginya di dunia dan akhirat. Amin ya rabbal a'lamin.



Saturday, October 22, 2011

Aku kini bergelar Abi...


Syukur Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah SWT di atas anugerah yang amat bernilai ini..

Kini, aku sudah bergelar abi. Isteri aku sudah selamat melahirkan putera sulung kami pada 20 Oktober 2011, jam 1617, di Bilik Bersalin 5, Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang. Bayi seberat 2.36 kg ini merupakan anugerah yang amat bernilai kepada kami sekeluarga..

Pengalaman menunggu dan menemani isteri di bilik bersalin benar-benar memberi suatu dimensi baru dalam hidup aku. Kini perspektif aku semakin jelas. Aku dapat merasai sendiri kepayahan seorang ibu bertarung nyawa untuk melahirkan seorang khalifah Allah SWT. Aku amat bersyukur kerana proses kelahiran amat mudah tanpa sebarang masalah memandangkan ini adalah kelahiran sulung.

Isteri telah ditahan di wad selama dua malam kerana pemeriksaan doktor mendapati indeks air ketuban kurang dari sepatutnya. Hati mana yang tidak bimbang apabila isteri terpaksa melalui keadaan ini. Dua hari aku berulang-alik dari Temerloh ke Raub. Isteri perlu diberi perhatian, manakala tugas sebagai guru pula tidak boleh diabaikan memandangkan sekarang ini adalah minggu peperiksaan.

Aku akan update lagi blog ini, akan disertakan gambar terkini putera sulung kami dan pengisytiharan namanya.


Monday, October 17, 2011

Debaran semakin terasa..


Genap 9 bulan 10 hari.. Berdebar sungguh rasanya. Inilah perasaan yang sering diluahkan oleh kawan-kawan apabila masa semakin hampir. Hati bercampur baur dengan perasaan gembira, gementar, tidak sabar dan macam-macam lagi.

Segala persiapan sudah dilakukan. Mental dan emosi juga sudah bersedia. Doa tidak pernah putus untuk kesejahteraan isteri tersayang dan anak yang bakal dilahirkan.

Apabila menghadapi saat macam ini, mula lah aku teringat semula setiap perkara yang berlaku semasa di awal kehamilan isteri. Kisah lucu dan mencemaskan, semua ada.

Teringat semula bagaimana keadaan isteri semasa di awal kehamilan. Dia gagahkan diri untuk tinggal bersama aku di pedalaman Sarawak. Bersabar dengan situasi semasa hamil. Segalanya masih aku ingat dan aku amat bersyukur kerana isteriku seorang yang penyabar dan kuat semangat. Segala kesusahan dihadapi dengan tenang dan redha.

Disepanjang kehamilan, isteri aku tidak pula mengidam apa-apa seperti yang berlaku kepada isteri kawan-kawan dan adik ipar aku. Sebaliknya aku yang mengidam nangka madu sampai tak boleh tidur malam. Aku terpaksa menghadapi keadaan itu selama seminggu. Mujur mak mertua aku ada menanam pokok nangka dan kebetulan ia memang berbuah. Sekarang nangka madu banyak dijual di tepi-tepi jalan. Tapi peliknya, aku tak terliur langsung sekarang ni.

Hati masih lagi berdebar. Semoga isteri dan anak yang bakal dilahirkan selamat sejahtera dan dilindungi Allah SWT sepanjang masa..



Saturday, October 15, 2011

Kurikulum Standard.. Mengapa Standard?


Bermula dari awal sesi persekolahan tahun 2011, murid Tahun 1 di seluruh negara telah menjadi perintis pelaksanaan dasar Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini digubal bagi menggantikan kurikulum terdahulu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR merupakan satu transformasi bentuk kurikulum yang kurang memberi penekanan terhadap peperiksaan. Walaup bagaimanapun, sekolah masih perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid berada di standard yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid secara holistik dapat dilaksanakan, maka satu sistem pentaksiran dirangka iaitu Pentaksiran Sekolah yang berpandukan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Sekolah merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai domain mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum sesebuah matapelajaran. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (markah dalam peperiksaan), sebaliknya murid akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap matapelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam Dokumen Standard Prestasi matapelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

Guru matapelajaran perlu merangka instrumen untuk menguji penguasaan murid bagi sesuatu domain. Instrumen boleh terdiri dari ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Instrumen yang digunakan untuk menguji murid ini akan dijadikan sebagai evidens. Bagi merangka instrumen ini, guru perlu merujuk kepada Dokumen Standard Prestasi matapelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menyatakan kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya.

Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, diharapakan agar transformasi ini mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Tahun 2012, merupakan tahun kedua pelaksanaan dasar KSSR ini. Kursus persediaan untuk para guru telah pun melaksanakan. Guru sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi seharusnya memahami sepenuhnya hasrat ini agar agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan.

Sebagai perkongsian bersama, pada link di bawah, disediakan bahan bagi membantu para guru untuk melaksanakan LADAP KSSR di sekolah.

Bahan LADAP KSSR


sumber : Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia




Wednesday, October 12, 2011

Aku kembali....


SK Muhammad Jabar, Dong, Raub, Pahang Darul Makmur.

5 bulan diperlukan untuk aku kembali menulis di blog ini selepas berpindah dari Sarawak pada Jun 2011 yang lalu. Aku perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Mencari teman, membuat saudara dan menyebarkan salam ukhwah kepada penduduk Raub. Dalam tempoh 5 bulan di tempat baru, banyak perkara telah berlaku.

Fasa baru dalam perjalanan karier aku sebagai guru. Ramai rakan-rakan guru yang bertanya, kenapa tidak pindah ke Perak? Bagi aku, usia perkhidmatan aku masih panjang. Tambahan pula kerajaan baru sahaja mengumumkan perlanjutan umur bersara kepada 60 tahun. Jadi, aku mempunyai banyak lagi masa untuk berkhidmat, lebih dari 30 tahun, insyaAllah jika diizinkan-Nya. Oleh itu, buat apa terburu-buru untuk pulang ke kampung halaman. Masih banyak lagi perkara yang perlu aku terokai. Masih banyak lagi tangga yang perlu aku daki.

Tapi, buat masa sekarang hati ini masih terkenangan SK Mentu Tapu dan SK Sungai Rimu.. ada sesuatu yang tertinggal di sana, pengalaman yang mengajar aku cara untuk mengajar...