Sunday, May 1, 2011

Persediaan Menyambut Orang Baru..

(Gambar 3D sekadar hiasan)

Selalunya bila search di internet tentang persiapan menyambut kelahiran, kerap kali terjumpa artikel yang ditulis dari perspektif seorang ibu atau bakal ibu. Persediaan bagi seorang ibu sudah diketahui umum, meliputi penjagaan kesihatan, senaman dan kebersihan. Ia banyak dibincangkan di mana-mana laman. Setakat ini aku belum jumpa artikel yang ditulis dari perspektif bapa.

Mendidik anak agar menjadi seorang Muslim yang sejati merupakan amanah bagi setiap ibu bapa. Lantaran keinsafan terhadap amanah yang dititipkan ini, ibu bapa perlu mendidik anak mengikut acuan yang betul.

Sejak dari awal lagi ibu bapa perlu membuat persediaan untuk mendidik anak. Persediaan yang penting bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, bahkan dari sudut kerohanian dan pendidikan. Keinsafan ibu dan bapa terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik dan ketua perlu ditanam agar anak yang lahir nanti menerima layanan dan asuhan yang sewajarnya.

Antara persediaan awal termasuklah mendedahkan kepada janin dengan alunan yang murni di samping bersedia memilih nama yang sesuai untuk anak itu. Seseorang anak perlu dididik ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Walaupun anak itu belum mampu berkata-kata atau melihat, namun dia dipercayai sudah boleh mendengar, merasai, dan menerima gelombang perasaan dari ibunya atau orang-orang yang berhampiran.

Oleh yang demikian, ibu dan bapa digalakkan banyak menenangkan perasaan dengan membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur. Ayat-ayat suci yang dibacakan itu dapat mendamaikan hati ibu seterusnya membantu perkembangan jiwa murni anak. Suara bacaan al-Quran juga mampu mendatangkan barakah dan rahmah dalam pembentukan anak.

Bahkan ada juga yang berpendapat pengaruh pengajaran yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang dialunkan itu mampu menyelinap masuk ke dalam sanubari janin, lantas membentuk potensi peribadi soleh sebagaimana terkandung dalam pengajaran ayat itu.

Lantaran itu, terdapat gesaan agar anak dalam kandungan tadi diperdengarkan bacaan Surah Luqman yang mengandungi pengajaran-pengajaran ke arah menjadi anak soleh, di samping surah-surah lain seperti Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insyirah, Surah Al-Alaq, Surah Maryam dan Surah Yusuf.

Memanggil janin di dalam kandungan dengan nama yang baik juga merupakan satu perkara yang patut diamalkan. Janin yang sedang membesar membentuk manusia yang sempurna, alangkah indahnya jika dipanggil dengan nama yang baik, berbanding dengan hanya memanggil ‘baby’ sahaja. Walaupun belum dipastikan lagi jantinanya, tidak salah untuk memanggil dengan nama pilihan yang baik-baik.

“Abi nak baca Al-Quran ni, Aiman (yang bertuah) dengar ye”
“Aiman (yang bertuah), umi nak solat, Aiman duduk diam-diam ye”

Terasa lucu bila mendengar ucapan seperti ini dari mulut rakan-rakan yang bakal menimang cahaya mata, akan tetapi ada rasionalnya, mendidik anak bermula dari rahim ibu.

Si ibu juga dianjurkan agar bertaubat dan membersihkan jiwa serta mengelakkan dari terjebak dalam maksiat dan lagha sepanjang mengandung. Perasaan ibu perlulah damai. Jika stress, bayi boleh menjadi lemah.

Wujudkan suasana girang, gembira dan syukur. Elakkan kemuraman, pertengkaran dan kalimah-kalimah yang kotor. Oleh itu peranan bapa selaku lelaki paling hampir amatlah penting. Bahkan bapa disarankan juga perlu bergilir-gilir membaca al-Quran dan berzikir bagi menceriakan halwa telinga anak yang di dalam kandungan.

Semoga kita semua boleh laksanakan, agar dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah – bukan anak-anak yang derhaka pada kita…



No comments:

Post a Comment