Saturday, October 15, 2011

Kurikulum Standard.. Mengapa Standard?


Bermula dari awal sesi persekolahan tahun 2011, murid Tahun 1 di seluruh negara telah menjadi perintis pelaksanaan dasar Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum baru ini digubal bagi menggantikan kurikulum terdahulu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR merupakan satu transformasi bentuk kurikulum yang kurang memberi penekanan terhadap peperiksaan. Walaup bagaimanapun, sekolah masih perlu menilai pencapaian murid-murid KSSR bagi memastikan murid-murid berada di standard yang betul dalam mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi memastikan satu pelaporan perkembangan murid-murid secara holistik dapat dilaksanakan, maka satu sistem pentaksiran dirangka iaitu Pentaksiran Sekolah yang berpandukan kaedah Pentaksiran Rujukan Standard.

Pentaksiran Sekolah merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu dan boleh buat atau telah menguasai domain mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan oleh kurikulum sesebuah matapelajaran. Pelaporan pencapaian murid KSSR dalam setiap mata pelajaran tidak lagi berbentuk gred (markah dalam peperiksaan), sebaliknya murid akan dilabelkan dengan menggunakan band iaitu tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki (band 1 hingga band 6) yang menggambarkan sejauh mana murid-murid telah menguasai sesuatu standard seperti yang dijelaskan dalam deskriptor. Penentuan band murid-murid ini dalam setiap matapelajaran perlu disokong dengan evidens yang telah ditetapkan dalam Dokumen Standard Prestasi matapelajaran tersebut. Pentaksiran perlu dilakukan ke atas semua mata pelajaran yang diajar di sekolah:

Guru matapelajaran perlu merangka instrumen untuk menguji penguasaan murid bagi sesuatu domain. Instrumen boleh terdiri dari ujian bertulis, ujian secara lisan, demonstrasi dan ujian amali. Instrumen yang digunakan untuk menguji murid ini akan dijadikan sebagai evidens. Bagi merangka instrumen ini, guru perlu merujuk kepada Dokumen Standard Prestasi matapelajaran masing-masing yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dokumen ini mengandungi pernyataan tentang tahap perkembangan pembelajaran murid yang diukur berdasarkan standard dan menyatakan kedudukan murid dalam perkembangan pembelajarannya.

Melalui sistem pentaksiran yang baru ini, diharapakan agar transformasi ini mampu untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan tentang pembinaan modal insan yang berteraskan kepada pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Tahun 2012, merupakan tahun kedua pelaksanaan dasar KSSR ini. Kursus persediaan untuk para guru telah pun melaksanakan. Guru sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi seharusnya memahami sepenuhnya hasrat ini agar agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan.

Sebagai perkongsian bersama, pada link di bawah, disediakan bahan bagi membantu para guru untuk melaksanakan LADAP KSSR di sekolah.

Bahan LADAP KSSR


sumber : Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia




3 comments:

  1. Hmm, Masih bertatih lagi dalam memahami KSSR... Pentaksiran KSSR adalah perkara yang sangat2 baru baru bagi saya..lagilah duduk akat sekolah sekarang ni.. subjek saya macam berada di pinggiran je.. huhu

    ReplyDelete
  2. KSSR mmg sesuatu yg baru..tp kaedah pentaksiran tu agak menarik kerana guru boleh gunakan kaedah eplbagai utk menilai kemampuan murid..mmg mengharapkan agar model KSSR akan kekal dan terus diperbaiki.

    ReplyDelete
  3. betul tu.. kaedah pentaksiran KSSR lebih menarik.. banyak instrumen yang cikgu boleh guna.. mula-mula nampak mcm membanyakkan kerja cikgu, tapi makin lama, rasa mcm nak boleh digest dengan pentaksiran baru ni.. ^_^

    ReplyDelete