Sunday, March 14, 2010

Hidup dengan rasa bersyukur 2


Kali ini aku hendak berbicara tentang topik di atas, walaupun aku pernah sentuh sedikit tentang topik ini dalam post yang terdahulu.

Ramai sahabat-sahabat yang bertanya pada aku tentang frasa “hidup dengan rasa bersyukur” ini. Apa signifikannya sehingga kebanyakan modul motivasi yang aku olah menerapkan unsur ini.

Jawapannya di sini. Aku cuba kupas secara ringkas untuk kefahaman semua.

Frasa yang kerap menjadi tema aku ini bertunjangkan ayat Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah juga), ketika Tuhanmu berkata, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Bersyukur bukan sekadar ungkapan mulut. Tetapi ia perlu diterjemahkan dengan amalan sebagai bukti kesungguhan hati ini menghargai setiap nikmat yang telah dikurniakan. Manifestasi dari rasa bersyukur ini membuahkan keinginan untuk melakukan setiap pekerjaan dengan sepenuh hati.

Bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita menjadi pemangkin untuk terus bermujahadah memperbaiki diri.

Bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan ibu bapa kepada kita menjadi pemangkin untuk sentiasa berbakti kepada mereka.

Bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan rezeki setiap hari kepada kita menjadi pemangkin untuk berkongsi rezeki ini dengan insan yang kekurangan.

Bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan kelapangan dalam hidup kita menjadi pemangkin untuk berkhidmat dengan penuh kesungguhan.

Bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik menjadi pemangkin untuk terus berusaha tanpa jemu.

Inilah manifestasi rasa bersyukur yang dizahirkan dengan penuh rasa kehambaan, hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa. Hidup dengan rasa bersyukur sememangnya signifikan dengan kehidupan di dunia yang fana ini.

“Hidup dengan rasa bersyukur” menjadi moto yang membawa pengertian tersendiri. Ia sebagai satu ingatan untuk terus berusaha sebaik mungkin, dengan kesungguhan yang jitu, sebagai bukti hamba yang mencintai Tuhannya..

No comments:

Post a Comment