Sunday, March 28, 2010

Salah konsep dalam P & P Sains


Cikgu : apakah yang terjadi kepada matahari pada waktu malam?
Murid : matahari berada di sebelah hemisfera lain.
Cikgu : apakah yang terjadi kepada bulan dan bintang pada waktu siang?
Murid : pada waktu siang bulan dan bintang tiada.

Ini adalah berdasarkan pengalaman aku mengajar Sains. Salah faham murid dalam konsep Sains amat ketara. Pada aku, ini merupakan satu situasi yang serius.

Mengubah salah konsep murid bukanlah perkara mudah kerana kajian menunjukkan murid berpegang teguh dengan salah konsep mereka. Salah konsep ini akan diubah oleh murid sendiri sekiranya didapati berbeza dengan pengajaran guru di bilik darjah. Walau bagaimanapun pengajaran dibuktikan hanya mampu mengubah sebahagian daripada salah konsep murid manakala sebahagian yang lain masih kekal. Jika salah konsep diabaikan, murid mungkin keliru dan tidak dapat menerima pengajaran guru. Selain itu murid mungkin menghafal fakta untuk lulus peperiksaan. Oleh sebab fakta ini tidak digabungkan dengan pengetahuan sedia ada murid, fakta berkenaan hanya dapat diingat dalam jangka waktu yang singkat. Hal ini bermakna salah konsep murid tidak berubah walaupun murid lulus dengan cemerlang.

Salah satu kaedah yang boleh digunakan ialah, guru memberikan bukti (eksperimen) bahawa konsep asas yang dikemukakan oleh saintis pada masa kini lebih tepat untuk menerangkan sesuatu fenomena semula jadi. Hal ini membolehkan murid menghubungkan fenomena, idea dan pengalaman baru dengan konsep sedia ada mereka.

Oleh itu guru perlu mengenal pasti salah konsep murid, merancang strategi untuk menangani salah konsep ini dan membina teknik penilaian yang mengambil kira sejauh mana murid dapat menyerap konsep sains yang diajar.

Selain itu guru juga perlu mengubah peranannya daripada ‘penyampai maklumat’ kepada penyelidik dan pemudah cara. Sebagai penyelidik guru perlu mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid manakala sebagai pemudah cara guru perlu membimbing agar murid dapat mempelajari sesuatu dengan bermakna. Guru juga tidak dianggap sebagai pakar yang cuba menyumbatkan pengetahuan ke dalam minda murid sebaliknya peranan guru adalah sebagai peransang sifat ingin tahu murid, pencabar konsep sedia ada murid, sumber maklumat dan juga rakan penyiasat. Hal ini bermakna murid bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aktiviti pembelajaran. Perubahan peranan guru sebegini akan memberi peluang kepada murid membina potensi diri dan kreativiti dalam segala aspek.


kredit : Pn. Hjh. Roslizah A. Samad

No comments:

Post a Comment