Tuesday, March 23, 2010

Guru juga ada perasaan..

Kerap kali aku dengar keluhan guru yang mengatakan murid-murid sekarang sudah hilang rasa hormat pada guru. Dalam sehari pasti ada keluhan seperti itu yang menerjah gegendang.

Kata mereka, “dulu bila nampak kelibat cikgu, murid pasti menyimpang ke arah lain kerana tidak mahu bertembung dengan cikgu.”

Kata mereka lagi, “dulu bila cikgu bercakap, murid akan dengar dan tunduk memandang lantai.”

Mereka kata lagi, “dulu murid tidak berani melawan cakap cikgu, apatah lagi memukul guru.”

Dan dulu yang bermacam-macam lagi..

Tetapi itu dulu, zaman dan situasi sekarang sudah banyak berubah. Psikologi murid tahun 90’an dan tahun 2000 sudah tidak sama. Jika dahulu hubungan murid dan guru seperti ‘ibu bapa ke-2’, tetapi sekarang tidak lagi. Guru dilihat hanya berfungsi sebagai penyampai ilmu di sekolah, sebagai batu loncatan untuk murid berjaya dalam peperiksaan. Mungkin ini tidak benar, tetapi itu yang aku nampak dan berlaku di depan mata aku.

Di mana silapnya.. Jangan menunding jari kepada orang lain. Guru-guru perlu muhasabah diri sendiri terlebih dahulu.

Di saat guru mengherdik murid di atas kesalahan yang mereka lakukan, waktu itu rasa hormat murid kepada kita sudah mulai terhakis..

Di waktu guru menjatuhkan hukuman secara fizikal kepada murid, di waktu itu juga kita telah menanam rasa benci dalam diri murid..

Apabila guru menyuruh murid berdiri di atas kerusi atau di luar kelas, kita telah mencabul hak murid tersebut untuk belajar..

Jangan dimarahi murid yang lembam, jangan diherdik murid yang nakal. Mereka datang ke sekolah untuk minta diajar dan dididik, bukan dimarahi atau diherdik..

Zaman sudah berubah. Zaman guru menghayun rotan, menyingsing lengan baju, bertempik umpama gajah sudah berlalu. Guru di sekolah bukan untuk ditakuti, tetapi untuk didekati oleh murid. Ilmu yang disampaikan oleh guru, disebarkan tanpa halangan, tidak kira masa dan tempat, di bawah pokok atau di kaki lima.

Apabila murid mendekati guru, berborak umpama rakan, jangan disalahtafsirkan sebagai tidak hormat. Apabila murid membetulkan kesilapan guru, guru janganlah melenting mempamerkan keangkuhan di atas kelemahan diri sendiri. Ini perubahan zaman yang guru perlu terima dan cerna sebaiknya. Pastikan sahsiah seorang guru itu sentiasa mampu menjadi suri tauladan kepada murid.

Penghormatan bukan diminta, tetapi diberi apabila kita berhak untuk menerimanya.

No comments:

Post a Comment