Monday, March 22, 2010

Nasi putih dan kicap

Bila tengok murid-murid menjamu selera waktu rehat di sekolah tadi, aku teringat masa aku sekolah dulu. Bekal yang aku bawa ke sekolah dulu tiada beza dengan bekal yang murid-murid aku bawa sekarang. Nasi putih dicampur dengan kicap dan ikan goreng separuh. Itu lah makan pagi kegemaran aku dan ia dikongsi bersama dengan sahabat-sahabat sepermainan, Razak, Fariq, Imran, Atan, Eruan.

Makanan yang ringkas tetapi menyelerakan bila makan bersama sambil berbual kosong dan ketawa di belakang kantin sekolah. Kadangkala aku tidak sempat untuk menyiapkan bekal makanan untuk ke sekolah sebab terlewat bangun. Aku tidak harapkan emak untuk menyiapkan bekal, aku dan adik-adik boleh lakukan sendiri. Bagi diri aku dan adik-adik, nasi putih, kicap dan ikan goreng separuh sudah mencukupi sebagai bekal. Kalau rajin sikit, aku goreng nasi dengan bawang. Itu makanan pagi yang menyelerakan untuk kami adik beradik.

Kini kenangan tersebut kembali terbayang di depan mata bila melihat telatah murid. Kenangan ini tidak akan hilang kerana dari situ terbitnya jati diri yang mendidik jiwa ini.

Ini nasihat aku kepada murid-murid aku. Kehidupan zaman bersekolah ni cuma sebentar sahaja. Belajarlah bersungguh-sungguh, bermainlah sepuas-puasnya, kerana suatu hari nanti kamu pasti akan menoleh ke belakang untuk menilai setiap perkara yang telah kamu lakukan. Oleh itu, pastikan kamu tidak melakukan perkara yang akan kamu sesali di kemudian hari.


No comments:

Post a Comment