Friday, May 21, 2010

Belasungkawa Ayahanda Tercinta


Segalanya masih segar dalam ingatan.

1991
Masih segar di ingatan sewaktu abah membawa aku ke kedai kasut di Tanah Rata untuk membeli kasut sekolah kerana aku akan memasuki Darjah 1 pada tahun ini. Dia memakaikan aku baju, menyapu bedak ke pipi ku dan meminyakkan rambut aku.

Tahun ini juga aku mula dihantar untuk belajar Al-Quran secara serius dengan seorang rakan abah di kuarters JKR Brinchang. Sebelah malam, abah pula dengan garangnya akan mengajar membaca Al-Quran.

Aku disengat tebuan. Ini semua disebabkan kenakalan aku sendiri yang suka mengganggu sarang tebuan yang terdapat di belakang rumah. Abah bergegas membawa aku ke Hospital Desa Cameron Highlands dengan motosikal Suzukinya.

1993
Abah merotan aku dan adik sebab ponteng kelas mengaji Al-Quran. Maafkan saya abah. Ini satu penyesalan yang sehingga kini masih menyesakkan dada.

1996
Keputusan UPSR diumumkan hari ini. Dari pagi lagi abah sudah menunggu di pagar sekolah untuk mengetahui keputusan yang aku perolehi. Aku juga berdebar-debar. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kegembiraan. Keputusan cemerlang 4A UPSR aku hadiahkan kepada abah dan kegembiraan abah menceriakan kami sekeluarga.

Terlalu banyak kenangan bersama abah. Ia tetap tersemat kukuh dalam ingatan. Aku puas dengan kasih sayang dan didikan yang abah berikan. Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan menempatkan dia di kalangan kekasih-Nya.

Aku di sini meneruskan hidup, menyebarkan ilmu yang abah pernah titipkan ke dalam diri ini, sebagai tanda ingatan kasih yang berkekalan. Semoga ia menjadi amal jariah berterusan untuk abah di alam sana.

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
(Surah Al-Fajr, ayat 27-30)

AL-FATIHAH untuk Ayahanda tercinta
Al-Marhum Raja Abdul Rahman bin Raja Abdul Jalil
10 Feb 1947 – 30 Mei 2003

No comments:

Post a Comment