Thursday, July 9, 2009

PPSMI : Ke mana hendak dituju..

Malaysiakini : Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.
...........................................................................

Dain : Penolakkan dasar PPSMI bukan satu kegagalan dalam P&P Sains dan Matematik. Objektif PPSMI tidak tercapai adalah disebabkan kurangnya bilangan guru opsyen Sains dan Matematik. di sekolah-sekolah khususnya sekolah luar bandar dan pedalaman. Di kawasan pedalaman seperti ini, subjek PPSMI diberi kepada guru yang bukan opsyen. Lebih sukar lagi apabila guru yang baru tamat pengajian / latihan, kurang pengalaman, diberi tanggungjawab untuk melaksanakan dasar ini.

Tidak perlu menunding jari apabila dasar ini kelihatannya gagal. Antara inisiaif yang boleh digerakkan ialah dengan memperkasakan Institut Pendidikan Guru. Pengambilan guru seharusnya ditambah untuk memantapkan institusi pendidikan rendah dan menengah.

Program KPLI boleh diteruskan dan dimantapkan sebagai satu keperluan segera kerana rata-rata guru pelatih KPLI memiliki ijazah dan kemahiran profesional yang diperlukan. Ada segelintir guru KPLI yang aku temui memiliki ijazah sarjana dan pengalaman profesional, mereka sanggup berada di pedalaman atas arahan Jabatan Pelajaran.

Guru-guru senior di sini juga bukan sebarangan. Mereka memiliki kelayakan akademik yang membanggakan. Ada yang sedang dalam proses menamatkan pengajian peringkat PhD. Berdasarkan pemerhatian yang tidak seluas mana ini, aku rasa kementerian memiliki tenaga pengajar yang berkaliber, namun telah dibazirkan tanpa sedar.

Kepada yang rajin berwacana dan berforum, kepada pembuat dasar, carilah jalan yang terbaik demi masa depan institusi pendidikan negara kita.


No comments:

Post a Comment